PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Tanggungjawab Orang Beriman
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ حِينَ بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ إِنَّكَ سَتَأْتِي قَوْمًا أَهْلَ كِتَابٍ فَإِذَا جِئْتَهُمْ فَادْعُهُمْ إِلَى أَنْ يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ
Daripada Ibnu Abbas RA berkata; Rasulullah SAW bersabda kepada Mu'adz bin Jabal RA ketika baginda mengutusnya ke Yaman: "Sesungguhnya kamu akan mendatangi kaum Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani), jika kamu sudah mendatangi mereka maka ajaklah mereka itu untuk mengucap syahadah bersaksi bahawa tidak ada Illah yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Jika mereka mengikuti seruan kamu, maka hendaklah kamu beritahu kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan bagi mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka mengikuti seruan kamu, maka beritahu kepada mereka bahawa Allah mewajibkan bagi mereka zakat yang diambil dari kalangan orang mampu dari mereka untuk diagihkan kepada orang yang fakir dari kalangan mereka. Jika mereka mentaati kamu dalam hal itu maka janganlah kamu mengambil harta-harta terhormat mereka dan takutlah terhadap doa orang yang dizalimi kerana antara dia dan Allah tidak ada hijab (sekatan yang menghalangi)". (HR Bukhari No: 1401) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Menjadi tanggungjawab dalam berdakwah untuk menyeru orang ramai supaya beriman kepada Allah dan Rasul dengan cara mengakui Allah yang menjadikan sekalian alam dan mentadbir sekalian makhluk di samping mentaati seruan dan perintah yang dibawa oleh Rasulullah.
2. Menjadi tanggungjawab orang yang telah beriman untuk melaksanakan perintah solat yang wajib lima kali sehari semalam sebagai tanda ketundukan dan kepatuhan kepada Pencipta.
وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَٰشِعِينَ ٤٥
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk (Al-Baqarah: 45)
3. Menjadi tanggungjawab orang yang telah beriman, yang memiliki harta untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta mereka sebagai zakat kepada golongan fakir miskin yang memerlukan bagi melahirkan kehidupan yang rahmah dan harmoni.
4. Sebagai pemimpin dan pentadbir, diingatkan agar berlaku adil kepada orang bawahan serta rakyat yang akur dan patuh kepada apa yang ditetapkan. Jangan sekali-kali berlaku zalim dengan menyalah gunakan kuasa untuk sebarang kepentingan diri dengan mengambil sesuatu yang bukan hak seperti rasuah, komisen, memerah rakyat bawahan, menyakiti mereka serta menzalimi mereka.
5. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa doa orang yang dizalimi itu amat mudah dimakbulkan Allah kerana tidak ada hijab antara dia dengan Allah.
Jadilah kita pendakwah yang mengajak kepada mentaati segala perintah Allah dan Rasul. Jangan sekali-kali kita berbuat zalim kepada orang lain, atau bersama serta menyokong orang yang berbuat zalim.
Negara Rahmah Ummah Sejahtera
#TeguhBersama
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
27hb Okt 2022
01hb Rabiul Akhir 1444H
Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram