KISAH SERAM / CERPEN BERCAKAP DENGAN JIN Karya TAMAR JALIS 🤲al fatihah kpd penulis Allahyarham dlm memori (13.9.1940 - 26.8.2018) Menerusi siri buku Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis menulis watak datuknya, Long Piah berusia 50-an & beliau sbg cucu
"Taklah risau sangat kalau adik kamu belum temu jodoh," tegas Mak Tua Tiamah seolah-olah bergantung harapan kepada Pak Tua Mahat. Disebabkan terlalu bergantung harapan kepada sesama makhluk itulah dia merasa kehilangan setelah Pak Tua Mahat meninggal dunia.
Tidak tahu kenapa Mak Tua Tiamah risau sangat Jemiyah masih tidak berkahwin sekalipun usianya hampir 30 tahun. Kalau mahu dibimbangkan Jemiyah tidak boleh hidup sendiri, dia sudah bekerja menjadi guru. Lainlah dia tidak bekerja menyebabkan tidak ada siapa akan ambil tahu mengenai dirinya.
Untuk memenuhi desakan Mak Tua Tiamah saya bersetuju mendoakan sahaja.
Doa pun sekadar ikhtiar setiap insan yang memohon pertolongan dan perlindungan Allah semata-mata. Takat membaca doa sahaja, tidak akan membawa perubahan apa-apa sekiranya tidak diusahakan.
Terpulang pada Jemiyah mengubah sikapnya. Kalau selama ini dia tidak mahu sangat bergaul mesra dengan kawan-kawan, sepatutnya dia bersikap ramah. Biarlah merendah diri daripada memilih kawan yang sesuai sahaja untuk didampingi dengan mesra.
Disebabkan Mak Tua Tiamah yang mendesak, saya meminta carikan tujuh kuntum bunga yang berbau harum. Tujuannya semata-mata keharuman itu amat baik dijadikan bau-bauan kepada sesiapa sahaja. Tidak ada apa-apa muslihat yang mengandungi sebarang tujuan untuk memikat orang lain.
Setelah tujuh kuntum bunga yang harum itu saya ramas di dalam air penuh satu besen, lantas saya bacakan doa:
Yuhibbu nahum kahubbillahhi wallazina amanu asyaddu hubban lillahhi, zui-yina linnasi hubbusy syahawati minan-nisa-i walbanina wal-qa-nathiril mugantharah.
Tidak ada apa-apa boleh mendatangkan keistimewaan dengan doa tersebut, kecuali dengan seizin Allah Subhanahu Wata'ala sahaja. Saya bacakan doa itu pun hanya dengan rasa gementar sekiranya tidak dapat memberi apa-apa manfaat, sedangkan Mak Tua Tiamah sudah terlalu berharap.
Setelah didoakan air yang sudah diramaskan dengan tujuh kuntum bunga berbau harum itu, saya suruh Mak Tua mandikan pada Jemiyah. Bagaimanapun saya sendiri gelisah, sekiranya doa itu tidak dimakbulkan Allah. Tentulah Mak Tua Tiamah akan menuduh saya tidak bersungguh-sungguh mahu membantu Jemiyah.
Kegelisahan demikianlah yang menyebabkan saya seringkali mengelaki sekiranya diminta mendoakan sesiapa sahaja yang terlalu berharap. Hampir seminggu saya tidak dapat melelapkan mata sangat apabila kenangkan harapan Mak Tua Tiamah yang terlalu tinggi itu.
Perkara Jemiyah masih tidak bertemu jodoh dalam usia hampir 30 tahun tentulah tidak sama dengan nasib malang yang menimpa Naemah di Kampung Hulu. Siapa sahaja tidak berani masuk meminangnya semenjak putus tunang dengan Usup Ceding.
Kejadian lebih 20 tahun ulu masih segar dalam ingatan Alang Sarit sebelum ia berkahwin dengan Naemah. Siapa pun tidak sanggup masuk meminang Naemah disebabkan ada sahaja aral mengganggu. Sampai enam orang pemuda meminang Naemah, semuanya terpaksa memutuskan pertunangan serta merta.
Bersambung...
Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
Tetapi Jemiyah satu-satunya anak gadis kesayangannya yang masih belum berkahwin sekalipun sudah menjangkau usia hampir 30 tahun.
Ke manalah Jemiyah akan mengadu untung nasib sekiranya dia sudah menutup mata sama macam arwah suaminya. Lainlah Pak Tua Mahat masih hidup, memang dia boleh bergantung harapan kepada suaminya. Tahu sangat orang-orang kampung mengenai keistimewaan Pak Tua Mahat tatkala berburu binatang liar ke tengah hutan.
Sudah beberapa kali Pak Tua Mahat diuji sewaktu berburu dia dapat melepaskan diri juga. Bukan sahaja tatkala anak kecilnya Safar tiba-tiba terkejang bagaikan mayat terbujur sewaktu dia mernbawa balik ayam hutan, malah Manap Sepet yang mengikutnya ke hutan juga pernah melihat rusa yang ditembak tiba-tiba berubah menjadi Cina apek tua.
Ketika balik daripada menembak ayam hutan, dia tidak terkejut apabila jiran-jiran berkumpul di rumahnya. Emak mertuanya Ngah Embin juga membebel marahkan dia disebabkan asyik berburu sampai anak sendiri menjadi mangsa. Terpaksalah nenek saya Bidan Ibah nasihatkan Ngah Embin supaya bersabar sampai Pak Tua Mahat sendiri naik ke rumah.
"Safar dah meninggal, bang Mahat," beritahu Mak Tua Tiamah tersengguk-sengguk menangis.
Tetapi Pak Tua Mahat tidak menyahut apa-apa. Dia juga tidak naik ke rumah menjengah anaknya Safar yang dikatakan sudah meninggal dunia. Sewaktu turun menggalas senapang pagi-pagi lagi ke pinggir hutan, dia tahu Safar masih nyenyak tidur.
Ketika dia nampak ayam hutan bertenggek di atas akar pokok ara, hati Pak Tua Mahat sudah mula berdetak. Sebaik sahaja dia menembak hingga ayam tersebut terpelanting jatuh ke perdu pokok ara, segera dia berkejar dengan parang terhunus di tangan. Berdebar hatinya apa bila melihat seekor ular hitam tergolek di tengah-tengah longgokan bulu-bulu ayam yang bertaburan. Tetapi Pak Tua Mahat tidak berputus asa, tidak bertangguh dia cacakkan mata parang ke tanah lantas menyeru:
Assalammualaikum ya rijal ghaib, assalamu-alikum ya ruhul kudus, lindung aku siang hari ini, pelihara aku malam hari, masuk aku dalam kalimat la-illahha.
Sedikit demi sedikit gelungan ular hitam yang tergolek itu berkabus putih seperti asap puntung, hingga bertukar semula menjadi ayam hutan. Cepat-cepat dia menyembelih ayam tersebut tatkala masih menggelepar lemah.
Ketika itulah pula Safar yang turun ke telaga untuk membasuh muka tiba-tiba sahaja terjerit memegang kepalanya bagaikan ditembusi peluru senapang. Belum sempat dipapah naik ke rumah anak kecil berusia tiga tahun ketika itu, terkejang kaku tidak bernyawa lagi. Memang Imam Resat sudah sahkan Safar tidak bernyawa lagi, setelah Mak Tua Tiamah memberitahu jiran-jiran. Disebabkan mereka semua menyangka Safar sudah meninggal dunia, masing-masing bersiap sedia untuk kebumikan mayat anak kecil itu.
Tetapi Pak Tua Mahat tidak sedih apa-apa, sekalipun jiran-jiran memberitahu mengenai kematian Safar. Dia tidak bercakap apa-apa terus membersihkan ayam hutan yang ditembaknya. Biarlah jiran-jiran yang uruskan perkara kematian anaknya Safar.
Sewaktu orang ramai sibuk ke kubur, Pak Tua Mahat habiskan masanya di dapur sahaja. Dia bertanak nasi, mengukur kelapa dan menumbuk lada. Sampai semuanya masak dia hidangkan di dalam dulang. Pak Tua Mahat tidak hiraukan emak mertuanya Ngah Embin becok meleteri kelakuannya yang tidak peduli fasal anaknya Safar sudah meninggal dunia.
Setelah hidangan disiapkan di dalam dulang, Pak Tua Mahat terus membawanya ke sisi Safar yang sudah dibujurkan di tengah rumah. Sebaik sahaja hidangan diletakkan, terus sahaja Pak Tua Mahat menepuk paha anaknya yang sudah dibujurkan itu.
"Safar, bangun, boleh kita makan bersama," tutur Pak Tua Mahat perlahan menyebabkan jiran-jiran yang membaca Quran di sisi mayat terkejut.
Tidak sampai satu minit selepas Pak Tua Mahat memanggil anaknya, tiba-tiba sahaja Safar bangun laksana baru tersedar daripada tidur. Dia terus makan nasi berlaukkan ayam hutan yang dihidangkan oleh ayahnya.
"Sebab tu, Semiah mesti cekalkan hati," pujuk isteri saya tersenyum menatap muka gadis yang sentiasa murung semenjak dihantar oleh Ucu Yasin ke rumah saya.
Tamat bab 159.
Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
Hai nenek tujuh petala bumi, sedalam-dalam sampai ke pasak bumi, aku nak minta aku nak menyuruh, bawakan si anu kepada aku, berkat kita bersahabat bersaudara, kabul la-illahha illallahhu.
Mat Sulap menyatukan dirinya dengan limau yang ditapakan di rumah kosong tengah belukar itu.
Sampai dia merasakan dirinya benar-benar terperosok ke dalam limau dihayun itu, Mat Sulap tidak bimbang apa-apa lagi. Siapa pun tidak akan melihat dia di situ selain daripada Raonah satu-satunya. Gadis itu juga akan diperosok ke dalam limau dihayun, biar dia tidak tahu apapun berlaku ke atas dirinya.
Setiap kali kenangkan kejadian yang berlaku seperti dalam mimpi itu, air mata Raonah menitik ke pipi. Hiba benar hatinya kerana tidak dapat mempertahankan diri tatkala terlantar di bangsal buruk menunggu durian. Hanya selepas balik ke rumah sahaja dia merasa benci sebenci-bencinya kepada Mat Sulap.
Tetapi siapa pun tidak akan percaya Mat Sulap melakukan demikian kepadanya. Yusak sendiri tahu kakaknya tidak melencong ke mana-mana setiap kali balik dari madrasah. Cuma Raonah tidak akan bercakap apa-apa pun sewaktu berjalan beriringan dengan adiknya Yusak. Sekali-sekala Yusak hanya mendengar kakaknya merungut-rungut tidak menentu sahaja.
"Kalau kau sakit, tak payahlah bangun tengah malam, Raonah," Tok Aji ingatkan dia setelah keadaan Raonah tidak bertenaga. Kesan dibelasah oleh ayahnya Leman Bauk juga masih belum hilang dari tubuhnya.
Tetapi Raonah tetap berdegil. Dia gagahi juga bangun tunaikan solat sunat tahajud untuk memenuhi hasratnya mahu bertaubat bersungguh-sungguh. Disebabkan keadaannya bertambah tenat, Raonah terlantar juga apabila kandungannya keguguran.
Selepas keguguran itulah Raonah tidak lagi berdaya mahu bangun. Nenek Aji juga tidak benarkan dia bangun lagi. Biarlah Raonah terbaring sahaja supaya segera sembuh. Lama terkejang di rumah Tok Aji, keadaan Raonah bertambah lemah.
Semenjak berita Raonah terlantar sakit diberitahu, emaknya Ngah Sumi tidak lekang duduk di sisi anaknya itu. Tidak sama dengan Leman Bauk, langsung tidak mahu menjengah datang. Kemarahannya terhadap Raonah masih belum luput dari ingatannya. Dia tetap menyalahkan gadis itu hingga menyebabkan berbadan dua.
Tidak sampai seminggu Raonah benar-benar tenat, dia menutup matanya rapat-rapat. Sempat juga saya ikut sama membacakan Yassin di sisinya bersama Yusak. Terbayang kegembiraan di wajah Raonah tatkala saya bersama Yusak duduk di sisinya membacakan Yassin sekalipun tersengguk-sengguk menahan sebak di dada.
Setelah diberitahu mengenai kematian Raonah, barulah Leman Bauk datang menjengah muka. Sebaik sahaja dia membuka kain tutup jenazah, sekaligus Leman Bauk menangis sepuas hatinya melepaskan rasa kesal yang memuncak. Tetapi segalanya telah berlaku. Dia tidak dapat menyelamatkan anaknya sekalipun kesal berterusan menusuk hatinya.
Apalagi tatkala Tok Aji memberitahu mengenai anak gadisnya itu dianiaya orang. Sekiranya dia dapat bersabar, tentulah perkara Raonah dianiaya itu boleh dibantu juga. Setidak-tidaknya Raonah tidaklah menderita akibat dipukul dengan tidak ada belas kasihan.
"Sudahlah Leman, tak guna kau kesal lagi," pujuk Tok Aji disebabkan Leman Bauk masih tersengguk-sengguk di sisi jenazah anaknya. "Sesal di hilir jeram apa gunanya lagi!" gerutu Ngah Sumi melepaskan geram terhadap suaminya setelah diberitahu oleh Tok Aji kejadian sebenarnya menimpa Raonah.
Leman Bauk tertunduk tidak menjawab sepatah pun. Biarlah isterinya mahu mengutuk dirinya, dia sudah merelakan. Saat demikian dia terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya yang menjadi punca menyebabkan Raonah terus menerus teraniaya. Hanya mereka yang amalkan ilmu hitam sahaja tergamak melihat penderitaan yang dialami oleh keluarga Raonah itu.
Sewaktu jenazah Raonah mahu dimandikan, tiba-tiba sahaja tidak seorang pun mampu mengangkatnya. Sampai dua puluh orang sekaligus mahu mengangkat, sedikitpun jenazah itu tidak bergerak.
"Pergi panggil Mat Sulap," perintah Tok Aji menyuruh tangguhkan dulu memandikan jenazah. Terpaksalah Usin Berot menjemput Mat Sulap.
#KoleksiTokAwangNgahBab159
TIBA TIBA MAYAT MENJADI BERAT
(Bab 159 bahagian 2)
Sekiranya mereka semua sudah tidak tertahan lagi hidup bersamanya Mat Kerubung sanggup ceraikan. Dia tidak perlu lagi hidup bersama, kerana bila-bila dia boleh memikat perempuan lain. Asal sahaja hatinya berkenan memang perempuan itu tidak akan terlepas dari tangannya.
Tetapi mimpi yang dialami oleh Semiah itu dianggapnya macam perkara yang tidak boleh dipercayai sahaja. Semiah tahu apalah sangat mimpi kalau mahu difikirkan sampai menjadi beban pula. Biarlah tiap-tiap malam dia bermimpi dicumbu oleh Mat Kerubung, bukannya rugi apa-apa.
Lebih sebulan dia bermimpi didatangi oleh Mat Kerubung itulah Semiah merasakan perubahan pada dirinya. Dia mula merasakan tekaknya loya bagaikan mahu termuntah. Tetapi dia sengaja diamkan diri sahaja kerana menyangka penyakit biasa sahaja. Sehari dua tentulah loya dan pening kepala itu boleh hilang selepas berbaring rehatkan badan.
Sampai tiga bulan menanggung perubahan pada dirinya, Semiah terasa perutnya mula berisi. Terkejut juga emaknya Kak Binah setelah mendapati anaknya berubah sangat. Dia dapat mengagak tentulah Semiah mengandung sekiranya keadaannya letih lesu sampai mukanya pucat lesi akibat termuntah-muntah tidak menentu.
Puas didesak oleh Kak Binah, anak gadisnya tetap terpinga-pinga apa telah berlaku terhadap dirinya. Setelah diminta Bidan Oyah rabakan perut Semiah, memang dia mengakui anak gadis itu sudah mengandung masuk empat bulan. Betapa malunya Kak Binah setelah mendapat tahu Semiah mengandung hingga perutnya sudah nampak memboyot.
Bimbang sangat dia kalau-kalau Bidan Oyah akan hebahkan pula kepada seisi kampung mengenai Semiah sudah mengandung empat bulan. Mana lagi muka hendak diletakkan akibat perbuatan yang terkutuk itu. Setelah perkara Semiah mengandung diberitahu kepada Ucu Yasin, dia sekadar menahan sebak di dada.
Tidak diduganya mala petaka demikian menimpa dirinya. Tergamak sangat anak kesayangannya melukakan hati keluarga. Disebabkan tidak dapat menahan rasa sedihnya itulah Ucu Yasin serahkan anaknya supaya saya suami isteri menjaganya. Biarlah Semiah melahirkan anak jauh dari kampung halamannya. Terpulanglah pada saya suami isteri uruskan nasib anak malang yang tiba-tiba sahaja mengandung sekalipun belum pernah berkahwin.
"Takkan ada orang nak percaya, mak," teresak-esak Semiah memberitahu isteri saya dengan linangan air mata.
Bimbang juga dia sekiranya dituduh berbohong. Masakan dia sekadar bermimpi menemui Mat Kerubung hingga boleh mengandung, kalau tidak bertemu secara sulit. Tentu dia sengaja berpura-pura bencikan Mat Kerubung disebabkan lelaki itu tidak mahu mengambilnya menjadi isteri setelah berbadan dua. Memang Semiah tahu tidak ada siapa pun mahu percaya dengan kejadian yang menimpa dirinya itu.
"Tak apalah Semiah duduk aje di sini, bila dah sihat nanti barulah balik ke kampung," isteri saya memujuk dalam keluhan memanjang. Sama ada Semiah berbohong ataupun tidak, dia terpaksa juga menerimanya setelah keluarga gadis itu menaruh harapan tinggi terhadapnya.
"Tetapi, Semiah tak mahu lagi ke kampung, mak," gerutu Semiah dalam tangisan yang semakin sayu.
"Duduk ajelah di sini," ujar isteri saya untuk mententeramkan hatinya.
"Semiah tak mahu susahkan, Mak," sahut gadis itu terharu disebabkan semakin gelisah dengan keadaan dirinya.
Terkebil-kebil mata juga dia apabila saya ceritakan mengenai diri Raonah beberapa tahun dulu. Bukan dia seorang sahaja yang menerima nasib buruk demikian. Malah Raonah sendiri lebih teruk menanggung derita disebabkan ayahnya tidak dapat menahan sabar.
Selepas dibelasah teruk oleh Leman Bauk, memang di rumah Tok Aji tempat dia berlindung. Tok Aji marahkan ayahnya Leman Bauk sekiranya terus berkeras mahu melepaskan geram. Perkara yang telah berlaku ke atas diri Raonah tidak boleh diselesaikan kalau memukul gadis itu sampai separuh mati pun.
Sengaja Semiah tidak memberitahu sesiapa pun mengenai perangai Mat Kerubung cuba mengusiknya setiap kali terserempak. Setiap kali kenangkan lelaki tua itu, benci sangat Semiah. Kalau tidak disebabkan Mat Kerubung sudah memutih uban di kepala, memang tergamak juga Semiah mahu menyindirnya untuk melepaskan geram di hati.
Semiah tidak akan memberi malu lelaki tua macam Mat Kerubung selagi dia masih tidak dikasari. Dia percaya Mat Kerubung tidak akan berani mengganggu sesuka hati. Ke mana Mat Kerubung mahu berlindung sekiranya orang-orang kampung menyerbu ke rumahnya, kalau perempuan tidak rela menjadi isterinya.
Lainlah Uda Tihah, Utih Encom atau Ibah Janda, memang semuanya rela menjadi isteri Mat Kerubung. Siapa pun tidak boleh melarang apakala perempuan rela dijadikan isteri. Biarlah Mat Kerubung sudah ramai isteri, tidak ada hak orang-orang kampung melarang disebabkan perempuan yang dikahwininya rela dimadukan.
Tetapi Semiah tidak rela. Jangan cuba Mat Kerubung mahu mengganggu dia kalau terserempak di mana-mana. Asal sahaja lelaki tua itu rnerapatinya, tidak bertangguh Semiah akan menjerit. Biar seisi kampung datang menyerbu sebaik sahaja jeritannya langsung hingga kedengaran di seluruh pelusuk kampung.
Disebabkan Semiah tetap tidak mahu melayani dia di manapun terserempak, malu juga Mat Kerubung merasakan dirinya seolah-olah tidak berguna lagi. Sia-sia sahaja amalan yang dituntutnya selama ini kalau Semiah tidak dapat ditundukkan. Manalah tahu Semiah akan hebahkan kepada semua penduduk kampung mengenai dirinya cuba mengganggu.
Alangkah malunya dia apabila Semiah memberitahu seisi kampung dirinya macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Mentang-mentang tubuhnya kurus ceding dengan muka cengkung dipenuhi parut jerawat, sengaja Semiah mahu memberi malu.
Setiap kali dia melintas di mana-mana, Mat Kerubung merasakan orang-orang kampung mengejeknya. Dia seolah-olah lelaki tua yang tidak sedar diri mahu memikat anak gadis seperti Semiah. Ejekan itu berterusan hinggakan Mat Kerubung menjadi serba salah, apakala kenangkan Semiah hebahkan kepada orang-orang kampung.
Lainlah kalau Semiah rahsiakan kepada sanak saudara fasal dia cuba mengusiknya. Bagaimana sekiranya Semiah tidak mahu menyimpan rahsia? Sebab itulah Mat Kerubung tidak boleh berdiam diri, setiap kali kenangkan Semiah akan memberitahu semua orang-orang kampung.
Semenjak lebih sebulan Semiah tidak pernah lagi menemui Mat Kerubung, tiba-tiba sahaja dia bermimpi lelaki tua itu mendatanginya. Terlalu mesra lelaki itu memujuknya, hingga dia melihat Mat Kerubung berubah menjadi tampan dan bergaya.
Di dalam mimpinya Semiah merelakan sahaja apapun dilakukan oleh Mat Kerubung terhadap dirinya. Dia benar-benar terpesona dengan Mat Kerubung yang amat pintar memujuk. Segala kemahuan Mat kerubung dilayaninya dengan penuh mesra.
"Abang sudah tua, Semiah," bisik Mat Kerubung hingga terasa bergetar di jiwa Semiah.
"Siapa cakap abang dah tua?" Semiah bagaikan merajuk untuk menguji hati lelaki berkenaan.
"Semiah yang cakap," terkekeh-kekeh Mat Kerubung ketawa lantas memegang dua bahu Semiah. Debar dada Semiah terasa berdegup kencang tatkala membiarkan M'at Kerubung merapatkan dirinya.
"Kalau abang tak sayangkan Semiah, cakaplah tak sayang," ujar Semiah dalam suara lembut yang menggetarkan.
Apabila terjaga di tengah malam, Semiah mengeluh panjang. Hairan juga dia dengan mimpi yang menakutkan hati sanubarinya. Kalaulah tidak kenangkan mimpi, memang mahu juga Semiah memberitahu keluarganya. Tentulah ayahnya akan mentertawakan dia, sekiranya diberitahu mengenai mimpinya dipujuk rayu oleh Mat Kerubung.
Tiba-tiba sahaja dia gembira menerima Mat Kerubung, sedangkan jauh di sudut hatinya memang lelaki itulah yang dibencinya. Manalah dia boleh mempercayai lelaki yang suka beristeri banyak seperti Mat Kerubung. Seisi kampung tahu sangat fasal perangai Mat Kerubung amalkan ilmu pengasih hingga ramai perempuan yang melutut di kakinya.
#KoleksiTokAwangNgahBab159
TIBA TIBA MAYAT MENJADI BERAT
(Bab 159 bahagian 1)
KEJADIAN yang menimpa Semiah seakan-akan sama dengan dialami oleh Raonah di kampung saya lebih dua puluh tahun dulu. Tetapi nasib Semiah lebih baik kerana ayahnya Ucu Yasin tidak gelabah macam ayah Raonah, sebaik sahaja mendapat tahu anak gadisnya mengandung. Ucu Yasin tetap tabah menahan kesabaran sekalipun merasa malu tidak terperi dengan kejadian yang mengaibkan itu.
Hati ayah mana dapat menahan sabar apabila anak gadisnya mengandung sebelum sempat dinikahkan. Sebab itulah Leman Bauk tidak bertangguh mencapai rotan sega menyebat Raonah sampai hilang suara tangisnya. Isterinya Ngah Sumi tersandar ke guni padi akibat menahan pitam tidak tergamak melihat Raonah dibelasah teruk.
Kalau tidak disebabkan Tok Aji datang meleraikan tentu Raonah terbujur kerana menahan penderitaan. Termengah-mengah Yusak yang sebaya dengan saya ketika itu berkejar ke madrasah Tok Aji memberitahu fasal Raonah dipukul ayahnya. Yusak juga tidak tergamak melihat kakaknya dipukul sampai berbirat seluruh badan.
"Jangan ikutkan syaitan, Leman!" Tok Aji berdiri gagah di muka pintu menyergah Leman Bauk, sebaik sahaja dia naik ke rumah. Cepat-cepat Leman Bauk berpaling menentang muka Tok Aji, barulah saya dan Yusak naik ke rumah.
Tidak bertangguh Yusak menerkam mendapatkan kakaknya yang tertiarap tidak bersuara apa-apa macam batang pisang terbujur. Saya segera bawakan air sebesen, lantas lapkan kain basah ke muka Raonah. Ketika ini barulah Ngah Sumi terketar- ketar bangun rnembantu memulihkan keadaan Raonah yang separuh tidak sedarkan diri.
"Kenapa kau pukul Raonah teruk macam ni?" soal Tok Aji tidak berkedip mata memerhati Leman Bauk.
"Dia beri malu saya, dia sapukan arang ke muka saya," sahut Lernan Bauk meluahkan rasa marah yang tidak terkawal.
"Dah kau pukul dia, habiskah malu kau?" suara lembut Tok Aji menyebabkan Leman Bauk terdiam. Tangannya masih terketar-ketar menahan rasa marah yang bergejolak di dada.
"Pukul sampai mati pun, benda dah terjadi nak buat macan mana!" gerutu Ngah Surni terkilan dengan perbuatan suaminya memukul Raonah tidak beragak-agak.
"Saya nak tahu, jantan mana yang lakukan?" tegas Leman Bauk terasa darahnya kian menyirap apabila kenangkan perbuatan anak gadisnya hingga mengandung. Tentu dia berulang kali rnenemui lelaki berkenaan setiap kali berulang alik ke madrasah Tok Aji.
Kalau mahu dituduh Raonah mencari lelaki, Yusak sering kali bersama apabila belajar di madrasah Tok Aji. Belum pernah lagi dia pergi berseorangan sahaja setiap petang.
Tentu Raonah menipu dia hingga sempat bertemu dengan lelaki yang sengaja mencari kesempatan. Setelah Raonah mengandung, lelaki berkenaan melarikan diri entah ke mana. Puas didesak supaya Raonah memberitahu, dia tetap membisu tidak bercakap sepatah apapun. Sebab itulah Leman Bauk tidak dapat menahan sabar lagi hingga tidak menyedari mencapai rotan sega membelasah Raonah.
"Biarlah Raonah di rumah aku buat sementara ni," ujar Tok Aji memujuk supaya anak gadis berkenaan berlindung buat sementara di madrasahnya.
Semenjak Raonah tinggal di rumah Tok Aji, kerapkali Yusak tidur bersama saya di tengah madrasah. Dia juga tidak mahu berenggang dengan kakaknya yang murung sahaja semenjak mengalami kejadian itu.
"Kak Onah jangan buat kerja kuat-kuat," tutur saya apabila terserempak dia banyak membasuh pakaian di telaga. Pakaian saya juga dibasuhnya sama hingga berlonggok penuh satu besen besar.
"Ah, basuh baju, bukannya kerja berat," sahut Raonah melirik senyum, tetapi terbayang keadaan badannya yang lemah tidak bermaya. Dia hanya gagahi sahaja membasuh semata-mata tidak senang untuk berihat sahaja.
Disebabkan tidak tergamak membiarkan Raonah membasuh pakaian, terpaksalah saya membantunya sama. Kadangkala Yusak juga akan datang membantu membasuh di telaga. Memang kami kasihan melihat keadaan Raonah, tetapi apakan daya apalah yang boleh kami bantu tatkala berusia 12 tahun ketika itu.
Lasiah tidak pedulikan siapa pun lagi. Dia membiarkan rambutnya mengerbang tidak terurus, sambil pakaiannya juga dibiarkan terlondeh. Terpaksa pula Uda Biyah bergegas-gegas betulkan kain anak gadisnya supaya tidak terlucut habis.
"Macam mana kalau bukan kerja Mihin?" bimbang juga Uda Biyah dengan tuduhan suaminya terhadap Aki Mihin.
"Dia fikir dia aje ada ilmu sihir!" bentak Wak Sikim menyimpan dendam yang membakar. Dia dapat menduga memang anaknya dikenakan sihir hingga terlantar hilang ingatan.
"Itulah orang bencikan awak, Lasiah yang menjadi mangsa," ujar Uda Biyah kesal dengan sikap suaminya yang keras kepala dengan orang-orang kampung. Kalau mereka tidak berupaya mahu menentang tenaga Wak Sikim, tentu mereka gunakan ilmu halus untuk membalas dendarn.
"Siapa lagi yang guna sihir, kalau bukan Mihin?" Wak Sikim menggenggam erat erat hulu parang di tangan. Dia tahu Aki Mihin berguru memencak silat dengan Malim Timin. Sebab itu Aka Mihin berani angkat muka dengannya untuk menguji amalan masing-masing. Tetapi Wak Sikim tidak bimbang siapa pun guru Aki Mihin, asal sahaja mengganggu keluarganya dia akan cekak leher dengan menyendalkan mata parang.
“Bukan Abang Mihin sahaja yang pandai, wak," Iantas Mat Delit mencelah untuk menyabarkan abang ipar nya yang mudah panas baran. "Malah siapa siapa sahaja pandai, siapa sahaja yang kuat, Allah Subhanahu Wata'ala lebih pandai dan kuat “ tegasnya semacam meluat dengan sikap Wak Sikim mudah sahaja mahu menunjukkan garang.
Dia percaya malang menimpa Lasiah, memang disebabkan orang kecewa dengan sikap Wak Sikim. Mereka sanggup lakukan apa sahaja, asalkan puas. Setidak-tidaknya keangkuhan Wak Sikim selama ini patut juga ditundukkan, biar dia menyedari betapa orang lain juga boleh bertindak balas.
"Awak ni angkuh macam tak takutkan Allah," Uda Biyah juga tidak sabar lagi dengan kelakuan suaminya mudah sangat mencabut hulu parang.
"Cuba bertenang, wak," Mat Delit mengingatkan dalam suara yang perlahan. "Lasiah sakit, ikhtiar kita ialah mengubatkan, bukannya menuduh orang sampai timbulkan syak wasangka," katanya mengejek sikap abang iparnya yang tidak henti-henti menuduh Aki Mihin.
Setelah diberitahu mengenai keadaan Lasiah terlantar sakit, Aki Mihin tetap datang menjengah. Memang dia tahu Wak Sikim menuduhnya gunakan sihir ilmu syaitan biar Lasiah diserahkan kepadanya. Tetapi perkara serahkan Lasiah kepadanya tidak penting sangat kalau dibandingkan mahu membersihkan namanya yang kian tercemar.
Terasa sangat pada Aki Mihin, asal sahaja orang –orang kampung diganggu ilmu syaitan dia lah satu-satunya yang dituduh seolah-olah dia satu-satunya yang tahu fasal ilmu pengasih hingga anak-anak gadis tergila-gila. Sudah berapa ramai anak gadis di kampung itu yang dirosakkannya, dia sendiri tidak tahu?
Kalau benarlah ilmu pengasihnya sudah merosakkan ramai anak gadis, bila-bila dia sanggup menyembah gadis yang sudah dirosakkan itu untuk meminta ampun!
Tetapi tidak seorang pun gadis di kampung itu yang telah dirosakkan oleh Aki Mihin. Sekiranya hati dia tidak dilukakan, sampai bilapun Aki Mihin tidak akan hayunkan limau di tengah malam. Dia tidak membacakan jampi serapah semata-mata untuk memikat anak gadis biar menyerah diri ke pangkuannya.
Sebab itu dia datang jengah Lasiah. Biarlah Wak Sikim menerkamnya sebaik sahaja dia jejak ke kepala tangga. Sekiranya kedatangan baik disambut dengan cara jahat, memang Aki Mihin tidak diamkan diri. Dia akan mengelak juga supaya Wak Sikim tahu di dalam kampung itu masih ada orang yang mampu menewaskannya.
Tetapi Wak Sikim tidak berganjak daripada tempat duduk semasa Aki Mihin naik ke rumah bersama isterinya. Dia sendiri tertunduk mengesat pelupuk mata sebaik sahaja melihat keadaan Lasiah terlantar hingga tulang pipi cengkung akibat terlalu kurus.
"Nak buat macam mana ni Abang Mihin?" lantar sahaja Mat Delit menegur sebaik sahaja Aki Mihin duduk.
#KoleksiTokAwangNgahBab158
MANGSA JAMPI TOK BATIN
(Bab 158 bahagian 2)
Sebaik sahaja tiupan seruling buluh itu menyusup masuk ke jiwa Lasiah, tidak bertangguh dia berkejar ke sawah menjinjing bakul bekalan untuk emak dan ayahnya. Sengaja dia meniti permatang melintasi di hadapan Aki Mihin sekalipun terpaksa melencong jauh dari sempadan sawahnya.
Sampai seminggu Aki Mihin mengulangi meniup seruling buluhnya, sedar juga Wak Sikim perbuatan lelaki itu. Kalau sekadar meniup seruling buluh sahaja, masakan anak gadisnya gelisah sekalipun dia melarang Lasiah supaya tidak turun ke sawah.
Tetapi dia tidak boleh menuduh kalau sekadar mendengar Aki Mihin meniup seruling buluh. Lagipun Aki Mihin sudah beristeri sudah mempunyai anak, tentulah dia sendiri berasa malu kalau menuduh lelaki itu cuba memikat anak gadisnya.
"Ah, buat apa kau tiup seruling lagi, Mihin?" sengaja Wak Sikim menegur apabila mendekati Aki Mihin tersandar di perdu pokok dedali.
"Saja nak seronok, wak," sahut Aki Mihin tersenyum mengerling Lasiah berlari di seberang sawah meniti permatang.
"Anak-anak muda bolehlah main seruling lagi," Wak Sikim menyindir sambil mencebek bibir. Memang hatinya geram setiap kali Aki Mihin meniup seruling buluh tentu anak gadisnya gelisah tidak menentu.
"Apa salahnya wak, untuk hibur-hibur hati," tersengih-sengih Aki Mihin kerana disindir oleh Wak Sikim.
Dia tahu Wak Sikim tidak boleh menuduh, sekiranya dia tidak melakukan perbuatan sumbang dengan Lasiah. Memang dia tidak akan memulakan sekiranya Lasiah sendiri sekadar berlari melintas di hadapannya sahaja.
Tetapi apabila Mat Delit sendiri menemui dia, memujuknya supaya tidak gunakan ilmu pengasih memikat Lasiah, terasa juga malu di hati Aki Mihin. Mat Delit tidak berkeras setelah menyedari Lasiah tidak boleh melupakan Aki Mihin walaupun sesaat. Hampir sahaja Wak Sikim menyerbu menghunus parang menetak kepala Aki Mihin.
Dia tidak dapat menahan sabar, apabila Lasiah berterus terang mahukan Aki Mihin menjadi suaminya sedangkan lelaki itu tidak pernah membuka mulut.
Tentulah Lasiah sudah dipengaruhi ilmu pengasih menyebabkan dia tidak dapat lagi memikirkan masa hadapannya sekiranya berkahwin dengan Aki Mihin yang sudah berkeluarga.
Mat Delit tidak benarkan abang iparnya berkeras tidak menentu. Kalau Aki Mihin gunakan ilmu pengasih, apa salahnya berunding cara baik supaya dia lepaskan Lasiah daripada pengaruh amalan berkenaan. Biarlah dia memujuk Aki Mihin sebelum membuat keputusan terburu-buru.
"Lasiah masih muda, janganlah aniaya dia," ujar Mat Delit tenang menghadapi suasana yang mendesak demikian.
"Saya tak buat apa-apa pada Lasiah," lantas Aki Mihin berdalih dalam keadaan serba salah. Tersenyum Mat Delit dengan penjelasan Aki Mihin yang cuba berdalih, kerana di kampung itu memang orang tahu sangat akan kebolehannya kalau memikat perempuan. Mereka yang lemah semangat mudah sahaja terpengaruh hingga menurut sahaja kemahuannya.
Tetapi Mat Delit sekadar menasihati lelaki itu. Semenjak dia balik dari belajar pondok di Kelantan, memang Mat Delit disegani oleh seisi kampung. Aki Mihin tidak boleh berdalih untuk menyembunyikan kesalahannya di hadapan Mat Delit.
"Kalau tak buat apa-apa, tak mengapalah," perlahan saja Mat Delit menuturkan dengan ikhlas. "Tapi, Abang Mihin pun tahu, Allah Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi," dia mengingatkan sebelum meninggalkan rumah Aki Mihin.
Kelembutan suara Mat Delit itulah menyebabkan Aki Mihin tidak berani mahu meneruskan memikat Lasiah dengan ilmu pengasihnya. Dia sedar maksudnya sekadar mahu melepaskan geram terhadap Wak Sikim yang bersikap keras tidak menentu. Melalui permatang sawahnya menyebabkan terpokah pun Wak Sikim mudah sahaja menyergah.
Apalagi kalau anak-anak muda bersiul tatkala Lasiah melintasi permatang menjinjing benih. Memang Aki Mihin tidak bimbang apa-apa sekiranya Wak Sikim cuba menerkam dengan parang terhunus. Tidak sia-sia lama dia belajar bersilat sampai diturunkan selempang hitam oleh Malim Timin. Dia tidak akan berundur sekiranya Wak Sikim berkeras mahu tunjuk garang.
"Insya-Allah, aki," sahut Lebai Bahamit memberi jaminan untuk memenuhi pesanan orang tua tersebut. Terbayang di matanya keinsafan yang amat menusuk ke dalam jiwanya begitu bergelora mahu meluahkan segala isi hatinya, tetapi suara Aki Mihin semakin tersekat-sekat di kerongkong.
Siapa yang berani mengganggu Lasiah anak gadis Wak Sikim yang baru berusia 18 tahun hingga ramai pemuda yang berangan-angan mahu memikatnya. Setiap kali Lasiah melintasi permatang sawah menjinjing benih, anak-anak muda cepat-cepat berpaling untuk mengerling. Masing-masing mengharapkan Lasiah akan memberikan senyuman kepada mereka.
Apabila Wak Sikim mendehem masing-masing menunduk kecut perut kerana bimbang orang tua berkenaan sedar akan perbuatan mereka. Anak-anak muda di dalam kampung tahu benar sekiranya Wak Sikim naik berang. Mudah sahaja dia menghunus parang mengajak lawan.
Masakan mereka boleh mengelak tatkala mata parang dikibas ke dada sampai terasa elusan anginnya berdesup. Jangan cuba mahu mengganggu Lasiah kalau tidak cukup syarat ilmu di dada. Junus Kemek sampai terselit celah rumpun rembia diserbu Wak Sikim, semata-mata disebabkan kambingnya masuk menceroboh ke tapak semaian.
Marah sangat Wak Sikim apabila Junus Kemek berdalih tidak mengakui kambingnya menceroboh masuk ke tapak semaian dia. Masakan kambing orang lain berkeliaran, tiba-tiba sahaja Wak Sikim menuduh kambingnya yang menceroboh masuk. Disebabkan Junus Kemek berdalih itulah, Wak Sikim menerkam tidak bertangguh.
Ditamparnya muka Junus Kemek hingga tertumus ke tanah. Tidak cukup dengan tamparan keras hinggap ke muka Junus Kemek, dia menghunus parang mahu disendalkan ke dada biar lelaki itu mengaku salah. Kalau tidak mahu membayar ganti rugi benih semaiannya diragut kambing pun dia tidak peduli, asal sahaja Junus Kemek tidak berdalih apa-apa.
"Wak nak bunuh orang ke?" jerkah adik iparnya Mat Delit sebaik sahaja diberitahu fasal Wak Sikim mahu menetak Junus Kemek.
"Orang macam ni mesti diajar!" sahut Wak Sikim tercegat memerhati Junus Kemek ketakutan bersembunyi di sebalik rumpun rembia.
"Tapi, kenapa sampai nak bunuh orang?" soal Mat Delit tidak suka dengan sikap abang iparnya mahu tunjuk keras kepala tidak bertempat.
"Kau juga nak kurang ajar dengan aku!" tersinggung juga Wak Sikim apabila Mat Delit cuba menghalang tindakannya.
"Jangan wak ingat parang tu boleh takutkan orang," Mat Delit ingatkan dia supaya tidak takbur hingga mahu mencabar sesiapa sahaja.
"Kau Delit, jangan campur hal aku!" ujar Wak Sikim menudingkan hujung mata parang ke arah dada Mat Delit.
"Saya tak campur, tapi saya nasihatkan wak jangan buat macam tu," tegas Mat Delit tidak berganjak menentang muka Wak Sikim.
"Buat macam mana?" jerkah Wak Sikim semakin berang dengan sikap adik iparnya.
"Kita hidup sekampung, buat apa tunjuk keras kepala?" perlahan sahaja Mat Delit menyabarkan abang iparnya yang sekian lama tidak boleh dilarang oleh sesiapa pun.
Disebabkan marah dengan teguran adik iparnya, lantas sahaja Wak Sikim melompat menyerbu ke arah Mat Delit. Tetapi lelaki itu tidak berundur sekalipun Wak Sikim mengancam dengan mata parang terhunus. Dia percaya Wak Sikim tidak akan tergamak mahu menetak dia tatkala bertahan di situ menunggu serbuan.
Terjerit juga Uda Biyah sebaik sahaja melihat suaminya Wak Sikim menghayun mata parang mahu menetak adiknya Mat Delit. Mahu juga dia menghambur menyelamatkan adiknya, tetapi Uda Biyah merasa pandangannya berbinar-binar. Hampir juga dia pitam sebaik melihat Wak Sikim menyerbu mahu melepaskan marah.
Belum pun sempat Wak Sikim menghampiri Mat Delit tiba-tiba sahaja dia tergelincir hingga jatuh tersungkur ke dalam lopak sawah. Parang di tangannya juga terlepas sampai terpelanting jatuh di hadapan Mat Delit. Tetapi Mat Delit sekadar tercegat sahaja tidak berganjak sedikit pun memerhatikan abang iparnya di dalam lopak sawah.
Saat ini Mat Delit memang mengisarkan tumitnya ke tanah dengan berdoa:
Kaf ha ya a'in sad, Ha mim a'in sim kaf, wa-imma yanza ghannaka minasy syaitanni nazghun fas-ta'iz billahhi in-nahu sami-'un 'alim.
#KoleksiTokAwangNgahBab158
MANGSA JAMPI TOK BATIN
(Bab 158 bahagian 1)
BEBERAPA bulan selepas kenduri arwah dengan bertahlil, membaca doa selamat dan Yassin di rumah Lebai Bahamit, tidak lagi orang-orang kampung bercakap fasal jelmaan Lamat Tebong di rumah peninggalan itu. Tidak pernah lagi mereka melihat dapur rumah berasap seperti orang tengah bertanak nasi di situ.
Bukan sahaja jiran-jiran yang berhampiran, malah Kak Tiah dan Andak Lijah juga tidak pernah terserempak lagi jelmaan Lamat Tebong duduk melangut di pelantar dapur mendongak sangkar tekukur. Mereka juga tidak nampak bayangan Birah memasak di dapur hingga kedengaran lesung batu menumbuk lada dengan kukur bergerut-gerut memarut kelapa.
Mijun juga sudah berani menebas belukar di keliling rumah, di samping menarah rumput di halaman. Rumah buruk peninggalan Aki Mihin kelihatan kemas setelah dipelihara baik, sekalipun atap yang tiris dan lantai yang reput menampakkan rumah tersebut terbiar juga.
Terkejut juga Kak Tiah apabila diberitahu oleh suaminya mengenai amalan Lamat Tebong semata-mata mahu menjadi lelaki yang diminati oleh ramai perempuan. Di mana arwah adiknya itu menuntut amalan demikian, Kak Tiah juga tidak tahu. Tidak pernah dia mendengar fasal Lamat Tebong belajar ilmu yang tidak diredai Allah ini.
Kalau mahu dituduh arwah datuknya Aki Mihin, tidak pernah pula orang tua itu tahu fasal ilmu kebatinan. Dia sekadar bertukang kayu sahaja untuk menyara keluarga. Selepas kematian isterinya Itam Nimah, dia terus menduda sampai ke tua.
Sama juga macam Lamat Tebong yang menduda selepas kematian isterinya Birah. Tetapi jiran-jiran tidak pula melihat jelmaan Aki Mihin selepas kematiannya seperti Lamat Tebong yang kerapkali terlangut di pelantar rumah mendongak sangkar tekukur.
Kak Tiah juga tidak tahu mengenai arwah adiknya seringkali menampar Birah menyebabkan hidup perempuan itu terseksa. Semenjak gadis lagi Birah rela menjadi isteri Lamat Tebong sekalipun keluarganya tidak menyukai. Dia tetap berkeras mahu berkahwin dengan Lamat Tebong setelah beberapa kali bertemu semasa menumbuk emping.
Kalaulah Lebai Bahamit tidak memberitahu pengakuan Lamat Tebong mengenai serbuk cacing gelang itu, memang Kak Tiah menyangka adiknya terlalu mesra melayani Birah. Sebab itulah Birah terus bersabar sekalipun makan minumnya seringkali diabaikan.
"Tak tahu pula kakak amalan arwah ni," ujar Kak Tiah menghidangkan minuman sewaktu saya berkunjung ke rumahnya selepas solat asar di surau Lebai Bahamit. "Kakak lihat dia baik melayani arwah Birah, lemah lembut orangnya," dia menjelaskan sambil mengerling suaminya yang menyandar belakang kukuh-kukuh ke dinding tengah.
"Sebab tu kita jangan nilai yang zahir aje," sahut Lebai Bahamit lantas menghulurkan cawan minuman ke hadapan saya.
Kak Tiah mengeluh pendek. Memang dia tidak menyangka Lamat Tebong bersikap garang sampai sanggup menampar isteri. Hairan juga dia kenapa arwah adiknya itu menduda sahaja selepas kematian Birah? Kalau dia mempunyai ilmu memikat perempuan, tentu bila-bila sahaja dia boleh berkahwin lain. Sekiranya mana-mana perempuan cuba berdalih, Lamat Tebong boleh gunakan serbuk cacing gelang itu biar mereka tersungkur datang menyerah diri.
Apalah ertinya Lamat Tebong memiliki ilmu pengasih kalau tidak boleh berkahwin selepas kematian isteri? Lebih baik tidak menuntut apa-apa amalan kalau terpaksa menduda demikian. Tetapi Kak Tiah juga tahu bukanlah menjadi pantang larang berkahwin lain sekiranya seseorang itu amalkan ilmu pengasih.
"Kalau dia amalkan ilmu pengasih, kenapa tak kahwin aje selepas mati isteri?" Cikgu Bidin pula semacam tidak percaya arwah Lamat Tebong gunakan ilmu pengasih memikat Birah.
"Kahwin pun buat apa, bukan boleh beranak," lantas sahaja Utih Berahim men-celah. Tahu sangat dia rahsia kawannya itu enggan berkahwin lagi selepas kematian Birah.
Assalam-mualaikum, aku tahu asal kau jadi, wahni mani mani-kam asal kau jadi, kur semangat kau si anu, mari kau kembali ke lambungan kiri aku, di situ tempat asal kau jadi, berkat la-illahha illallah hu...
Setelah dijampi serapah Lamat Tebong rendamkan pula botol berkenaan di dalam perlimbahan sampai tiga malam. Serbuk cacing gelang di dalam botol itulah dimasukkan oleh Lamat Tebong ke dalam emping yang dimakan Birah sewaktu sama-sama mengemping selepas habis musim menuai.
Mereka sama jiran sekampung memang bermuafakat menumbuk emping selepas habis musim menuai sebaik sahaja selesai maghrib. Anak-anak gadis akan merendang padi muda di kuali, sementara anak-anak muda menyorongkan kayu api ke bawah buntut kuali. Ibu-ibu mereka pula akan menurnbuk padi sudah direndang di dalam lesung pengemping.
Bertingkah-tingkah antan pengemping disebabkan lima enam antan satu lesung ditumbukkan sekali. Memang perempuan di kampung berkenaan mahir kalau menumbuk emping. Setiap tahun mereka akan mengemping bersama-sama sebaik habis sahaja musim menuai, tanda hubungan mesra penduduk di situ sesama jiran.
Peluang berkumpul bersama inilah digunakan sebaik-baiknya oleh Lamat Tebong untuk memikat Birah. Kalau dia berterus terang, memang bimbang juga dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja. Manalah tahu Birah akan mencemik muka meluat mahu melayani dirinya.
Sebab itulah dia gunakan serbuk cacing gelang yang keluar melalui najisnya itu bagi memikat Birah. Selepas gunakan serbuk cacing gelang tiba-tiba sahaja Birah tidak mahu berenggang lagi dengan Lamat Tebong. Dia rela mengikut ke mana sahaja, sekalipun keluarganya membuang dia sekiranya berkahwin dengan Lamat Tebong yang pemalas.
"Kau mimpi macam tu?" terkejut juga Lebai Bahamit apabila diberitahu Birah mengenai mimpinya. Dia sendiri bermimpi juga sama seperti dialami oleh perempuan itu.
Birah mengangguk. Apabila kenangkan muntahnya macam perlimbahan sama dengan serbuk cacing di dalam botol, terasa tekaknya loya hingga perut memual-mual.
Tetapi Lebai Bahamit tidak berani mahu menuduh, Lamat Tebong perdayakan Birah dengan serbuk cacing yang dijampi serapah menjadi ilmu pengasih itu. Kalau benarlah Lamat Tebong lakukan demikian, amalannya tetap didorong oleh godaan syaitan semata-mata.
Tidak lama selepas itulah Birah menghidap demam kura hingga membawa maut. Sebulan selepas kematian Birah, beransur-ansur Lamat Tebong berubah bagaikan orang tidak siuman. Berulang kali dia menyebut Birah asal sahaja perasaannya terganggu.
Memang Lamat Tebong mengaku di hadapan Lebai Bahamit, setiap hari menemui Birah. Ke mana sahaja dia membawa sangkar denak memikat tekukur Birah sentiasa mengekorinya. Setiap malam Birah akan tidur di sisinya macam sewaktu hayatnya juga.
Puas Lamat Tebong mahu memisahkan dirinya dengan Birah, tetapi perempuan itu tidak peduli langsung. Memang Lamat Tebong jelmaan Birah di sisinya hanya bayangan sahaja, namun dia tidak berupaya untuk mengelak. Setiap kali Birah memasak di dapur dia akan hidangkan pada Lamat Tebong air perlimbahan yang hitam bukat.
Terketar-ketar Lamat Tebong dipaksa menghirup air perlimbahan yang dihidangkan itu. Bimbang juga dia mahu membantah kerana di sisinya bukan Birah yang boleh ditampar keras apabila dia memberang. Birah di sisinya ketika itu hanya bayang jelmaan yang tidak boleh ditewaskan oleh tenaga kasarnya.
Sampai Lamat Tebong meninggal dunia pun, cuma Lebai Bahamit satu-satunya yang diberitahu fasal jelmaan Birah mengganggu. Tidak sempat Lamat Tebong memberitahu Kak Tiah, dia pula meninggal dunia.
"Tak tahulah kalau mimpi arwah Birah benar-benar berlaku, ustaz?" Lebai Bahamit menggeleng lemah apabila kenangkan Birah diberi makan serbuk cacing gelang yang sudah dijampi serapah itu.
Saya mengangguk lemah, kemudian berjalan beriringan dengan Lebai Bahamit meninggalkan kawasan surau. Jauh di sudut hati saya memang sudah tertanam niat mahu mengadakan kenduri arwah. Biarlah sama-sama seisi kampung mendoakan roh mereka yang sudah pergi dicucui rahmat Allah Sub-hanahu Wata'ala.
Tamat bab 157.
Dari jendela dapur rumah yang saya sewa itu, jelas dapat dilihat bayangan seorang perempuan sedang memasak. Tubuh perempuan itu lesu tidak bermaya bagaikan tergigil-gigil kesejukan, tetapi digagahi juga untuk bangun menjerang air di tungku.
Sejurus kemudian saya melihat lembaga lelaki bengis menerkam ke arahnya menempeleng beberapa kali menyebabkan perempuan itu tersandar ke dinding. Teresak-esak perempuan itu menahan kesakitan, tetapi dia tetap tidak menjerit.
"Sakit Bang Lamat, cukuplah jangan pukul saya lagi," bergetar suara halus perempuan sayup-sayup dalam keheningan subuh itu.
"Berani kau cakap rumah ni tak berberas pada orang!" bentak keras suara lelaki sedang berang melepaskan rasa marah yang memuncak.
"Lain kali saya tak buat Bang Lamat," tutur perempuan itu terketar-ketar.
"Kau fikir kalau mengadu dengan orang, mereka nak beri beras?" lelaki itu bercekak pinggang tercegat di hadapan bayangan perempuan yang tersepuk ke penjuru dapur.
"Ampunkan saya Bang Lamat," semakin sayu suara perempuan itu meminta belas kasihan tidak tertahan dibelasah oleh lelaki berkenaan.
"Kau sengaja nak malukan aku pada orang, ya tak?" serentak dengan itu bayangan lelaki berkenaan menerkam lagi melepaskan tamparan keras berulang kali.
Lama saya memerhatikan dari celah lubang daun jendela dapur kejadian itu, barulah bayangan lelaki itu berdiri di jendela rumahnya terhangak-hangak memanjang leher ke arah saya. Dia seolah-olah syak ada orang melihat kejadian yang berlaku di rumahnya ketika itu.
Sengaja saya tidak gerakkan badan tercegat di situ, biar lembaga berkenaan tidak cam apa-apa. Sebaik sahaja sayup-sayup azan subuh dari arah surau Lebai Bahamit bergerna ke pelusuk kampung, tiba-tiba sahaja api pelita di dapur rumah peninggalan Lamat Tebong padam serta merta. Saya tidak lagi melihat bayangan perempuan dan lelaki itu di situ.
Cepat-cepat saya ke surau Lebai Bahamit setelah mendengar azan berkumandang. Gemersik suara Mijun melaungkan azan di anjung surau memecah keheningan subuh itu. Seringkali memang Mijun diharapkan oleh ayahnya melaungkan azan, kalau Cikgu Bidin terlambat sampai ke surau.
Kejadian yang saya lihat itu tidak diceritakan langsung pada Lebai Bahamit. Manalah tahu tersinggung pula dia sekiranya diungkit kejadian yang menimpa arwah adik iparnya itu. Lagipun apalah gunanya saya ceritakan kepada sesiapa pun, perkara yang sukar mahu dipercayai oleh akal manusia.
"Kalau boleh kita buatkan kenduri arwah untuk arwah Lamat Tebong dan isterinya," bisik saya pada Lebai Bahamit selepas sama-sama tunaikan solat subuh.
"Ustaz juga dah ternampak?" lantas sahaja Lebai Bahamit menuduh dengan melirik senyum.
"Ternampak apa pula?" sengaja saya berpura-pura terkejut dengan tuduhannya itu.
"Orang memasak di dapur rumah Lamat Tebong," ujar Lebai Bahamit mengerling saya.
Serba salah juga saya mahu mengakui. Manalah tahu Lebai Bahamit tidak mempercayai kejadian demiklan sekalipun jiran-jirannya mengaku telah beberapa kali melihatnya. Bukan takat pagi subuh atau rnalam sahaja, malah tengah hari tatkala matahari tegak di kepala pun mereka melihat asap di dapur rumah tersebut bagaikan orang sedang bertanak nasi.
Kadangkala mereka terdengar lesung batu menumbuk lada atau kelapa tengah dikukur. Apabila mereka dekati rumah tersebut, semuanya hilang tidak kedengaran apa-apa lagi.
"Allah Subhanahu Wata'ala Maha Mengetahui," tutur Lebai Bahamit perlahan apabila kenangkan Lamat Tebong. "Dia mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi," tegasnya sebak menahan rasa terharu yang mengombak.
Memang Lebai Bahamit tahu benar penderitaan Birah selama menjadi isteri Lamat Tebong, hingga saban hari ditampar tidak bersisa. Birah tidak berani memberitahu sesiapapun kalau Lamat Tebong memukulnya, sekali pun dia sekadar memberitahu fasal rumahnya tidak berberas.
Dapur menjadi lengang. Tidak ada lagi bunyi pinggan mangkuk bergeser di basuh. Batu sengkalan ditumbukkan juga tidak kedengaran. Decir minyak panas menggoreng di kuali juga hilang entah ke mana bersama angin yang bertiup di luar.
"Nak ubat macam mana, Lamat tu tak sakit,” Lebai Bahamit serba salah apakala didesak oleh isterinya.
-
"Nampak zahirnya memang tak sakit," ujar Kak Tiah semakin geram kerana suaminya sukar diajak berunding dalam saat demikian. "Tapi, Lamat tu memang sakit," katanya kian gusar apabila kenangkan nasib menimpa adiknya yang menduda semenjak kematian Birah.
"Kalau dah sakit, awak ubatlah," mendengus marah Lebai Bahamit apabila didesak sedangkan dia melihat Lamat Tebong tidak mengalami apapun penyakit.
Disebabkan suaminya tidak mahu mencampuri urusan Lamat Tebong, tidak berani juga Kak Tiah mahu memandai-mandai. Masakan dia boleh meminta bantuan Dukun Sunap sekiranya Lebai Bahamit tidak izinkan.
Bersambung...
Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
Setelah melihat keadaan rumah berkenaan yang atapnya sudah banyak yang tiris, dengan lantai dan dindingnya juga reput, tidaklah jadi saya mahu menyewa rumah peninggalan Lamat Tebong. Tetapi jauh di lubuk hati saya teringin juga mahu mengetahui daripada Mijun mengenai diri arwah Lamat Tebong itu.
Kalau dikatakan dia memelihara hantu raya menyebabkan kerapkali kelihatan menjelma selepas kematiannya, emak Mijun tentu lebih mengetahui mengenai adiknya itu. Tetapi Kak Tiah tahu sangat adiknya Lamat Tebong tidak pernah menuntut amalan memelihara hantu raya.
Datuknya Aki Mihin juga tidak mengamalkan apa-apa, kecuali menjadi tukang kayu sahaja. Masakan datuknya mewariskan hantu raya kepada Lamat Tebong kalau dia sendiri tidak tahu menahu mengenai amalan tersebut. Apalah gunanya Aki Mihin memelihara hantu raya kerana dia tidak mempunyai harta untuk dikawal oleh suruhan demikian?
"Arwah Lamat Tebong dulu nikah dengan bunian," beritahu Utih Berahim tatkala saya bersama Mijun mengunjungi dia di rumahnya. Utih Berahim sama-sama memikat tekukur dengan Lamat Tebong sampai jauh ke pinggir hutan mengendap di tengah belukar.
Beberapa kali Utih Berahim mengintai kawannya dari balik belukar apakala mendengar Lamat Tebong berbual. Dia sekadar melihat Lamat Tebong bercakap seorang diri mengadap ke perdu pokok enau tersergam di tengah belukar. Mahu sahaja dia menyergah dari belakang, tetapi bimbang pula kawannya itu akan tersinggung.
Kadangkala hampir setengah jam dia melihat Lamat Tebong berbual di situ seorang diri. Hingga santak senja barulah dia meninggalkan belukar mencapai sangkar denak terus balik ke rumah tidak menoleh ke belakang lagi.
"Apa yang kau bualkan di belukar, Lamat?" sengaja Utih Berahim mendesaknya semasa berjalan kaki balik ke rumah.
"Kau gila, aku berbual dengan siapa pula?" tersengih-sengih Lamat Tebong kehairanan dengan soalan kawannya itu.
"Aku nampak kau berbual di perdu pokok enau," kata Utih Berahim tetap mengesyaki sesuatu kejadian buruk berlaku ke atas diri kawannya itu.
"Masa bila pula aku di perdu pokok enau ni?" sahut Lamat Tebong tidak percaya dengan dakwaan Utih Berahim. "Kau tak nampakkah aku mengendap dekat pokok cenerai," jelasnya seolah-olah cuba berdalih.
Tetapi Utih Berahim memang melihat kawannya itu tercegat di perdu pokok enau berbual berbisik-bisik laksana berhadapan dengan perempuan. Puas dia memerhati sekeliling, tidak ada siapa pun dilayan berbual dengan Lamat Tebong di situ.
Beberapa kali juga Utih Berahim cuba mengamati perbualan Lamat Tebong, tetapi dia tidak dapat mendengar dengan jelas biji butirnya. Bagaimanapun dia dapat mengagak memang Lamat Tebong bagaikan sedang bercakap dengan isterinya Birah. Kadangkala sewaktu melintas di halaman rumahnya tatkala malam pun, Utih Berahim mendengar Lamat Tebong berbisik-bisik dengan perempuan.
Bukan Utih Berahim sahaja menyedari kejadian aneh berlaku terhadap diri Lamat Tebong, malah Kak Tiah juga beberapa kali terserempak dapur rumah adiknya berasap seperti ada orang memasak nasi. Hairan juga dia dengan keadaan dapur rumah adiknya disebabkan Lamat Tebong tidak ada di rumah.
Apabila diintai oleh Kak Tiah dia melihat periuk nasi terjerang di tungku. Setelah Lamat Tebong balik ke rumah tidak bertangguh Kak Tiah memberitahu mengenai periuk nasi terjerang sewaktu dia keluar memikat tekukur. Sewaktu Kak Tiah naik ke rumah bersama Lamat Tebong, tidak ada pula kesan orang memasak. Periuk yang terjerang juga tertangkup di bawah dapur dengan puntung kayu tersusun rapi.
Selepas kematian Lamat Tebong, beberapa kali juga Kak Tiah melihat dapur rumah itu berasap laksana orang memasak. Bukan Kak Tiah sahaja yang melihat kejadian itu, malah jiran-jiran juga tersermpak. Sebab itulah mereka tidak berani melintas di halaman rumah peninggalan arwah Lamat Tebong.
"Masa hidupnya juga banyak kejadian aneh pada dirinya, ustaz," jelas Utih Berahim apabila kenangkan kelakuan kawannya itu.
Tercengang-cengang jiran yang datang apabila diberitahu mengenai kejadian berkenaan. Seisi kampung heboh dengan cerita Safar yang telah sah meninggal dunia tiba-tiba hidup semula. Tetapi Pak Tua Mahat sekadar menjelaskan hanya pada penglihatan mata biasa sahaja Safar meninggal dunia.
"Itulah cara syaitan nak kelirukan manusia," ujar Pak Tua Mahat perlahan, tetapi terus merahsiakan kejadian yang menyelubungi keluarganya itu.
Terpaksa pula orang-orang kampung tanamkan batang pisang disebabkan kubur sudah digali. Menjadi pantang larang orang tua-tua kubur yang sudah digali tidak boleh dikambus semula kalau tidak ditanamkan apa-apa.
Setelah bercucu pun Safar tidak tahu mengenai kejadian dia dikatakan sudah meninggal dunia itu ketika berumur 3 tahun. Masakan orang mahu mempercayai kalau tidak melihat sendiri kejadian tersebut macam emaknya Mak Tua Tiamah. Siapa pun tidak boleh berbohong dengan Mak Tua Tiamah kerana dia sendiri tersengguk-sengguk tatkala tubuh Safar dibujurkan oleh Imam Resat.
Manap Sepet yang galikan kubur juga tidak boleh dibohongkan fasal kejadian Safar yang dilihat sudah terbujur menjadi mayat itu. Tetapi rahsia di sisi Allah siapa pun tidak mengetahuinya. Sebab itulah arwah Pak Tua Mahat tidak mahu bercakap apa-apa kalau diungkit mengenai kejadian yang menimpa Safar. Bukan kejadian Safar disangka mati itu sahaja orang-orang kampung kenang Pak Tua Mahat, malah Manap Sepet juga tahu mengenai kejadian dia dihambat hantu tinggi di tengah hutan. Tegak bulu roma Manap Sepet sewaktu rusa yang ditembak bertukar menjadi Cina apek tua berpakaian serba hitam terbaring mengerang-erang.
Tentu mereka dituduh membunuh akibat tertembak Cina apek tua di tengah hutan. Manap Sepet bersama Sahak Jongang yang ikut sama berburu ke hutan dengan Pak Tua Mahat memang tidak dapat berselindung lagi sekiranya seisi kampung tahu dia tertembak Cina apek tua itu.
Puas juga dia memikirkan bagaimana pula Cina apek tua itu tiba-tiba sahaja berada di tengah hutan? Lainlah kalau di pinggir kampung tentulah Cina apek tua itu tengah berkebun sayur. Tetapi mereka tertembak Cina apek tua di tengah hutan jauh dari kampung mereka.
Tetapi Pak Tua Mahat tidak cemas apa-apa. Dia memangkas anak kayu sebesar lengan budak lantas dicancangkan di keliling Cina apek tua terbaring mengerang-erang. Kemudian dia mencapai kain hitam lilitan kepalanya lantas dikibaskan tiga kali ke tubuh Cina apek tua itu.
Sewaktu Pak Tua Mahat mengkibaskan kain hitam lilit kepala itu jelas didengar oleh Manap Sepet Sahak Jongang dia menyebut
Ah badi mah badi, ba embun badi seratus sembilan puluh, itulah asal jadi badi, air setitik asal engkau jadi badi, tanah segenggam asal engkau jadi badi, datang engkau dirimba raya balik kau ke rimba raya, datang engkau di gaung guntung balik kau ke gaung guntung, tak balik engkau berdosa pada pawang berempat, kabul la illahha illallah hu...
Lama Pak Tua Maha tercegat di sisi Cina apek tua yang mengerang-erang, tiba-tiba sahaja mereka berdua nampak lembaga hitam tinggi seperti pokok tersergam hingga kepalanya seolah-olah tercecah ke awan. Jauh di udara mereka nampak matanya yang berapi di tengah kegelapan malam.
Tidak tahu apa yang dicakapkan oleh Pak Tua Mahat dengan lembaga tinggi itu, kecuali mereka mendengar Pak Tua Mahat sekadar merungut-rungut. Sekali-sekala lembaga tinggi itu terbatuk-batuk laksana dan guruh berdentum di udara.
Selepas itulah sedikit di demi sedikit Cina apek tua bertukar semula menjadi rusa dengan bulunya tegak seperti ijuk enau. Setelah dikibas-kibas tujuh kali lagi di dengan kain hitam di tangan oleh Pak Tua Mahat, barulah keadaan rusa yang ditembak pulih seperti sediakala.Tidak bertangguh pula Pak Tua Mahat menyembelihnya sebaik sahaja rusa yang ditembak menendang-nendang kaki lemah tidak bertenaga.
"Susah benar hati mak tua, sejak pak tua kau dah tak ada," perlahan sahaja Mak Tua Tiamah menuturkan.
"Apa yang susahnya, kalau ada pak tua pun dia bukan boleh buat apa," ujar saya memintas cakapnya.
#KoleksiTokAwangNgahBab160
GERUH MEMINANG GADIS BERBADI
(Bab 160 bahagian 1)
SERBA salah juga mahu memberitahu kepada sanak saudara mengenai anak gadisnya Jemiyah masih juga belum mahu kalau didesak kahwin. Hampir masuk usianya 30 tahun sudah beberapa kali Jemiyah putus tunang menyebabkan segala harapan yang disimpan kukuh di dalam hati berkecai. Kalau tidak pihak lelaki yang menimbulkan masalah, Jemiyah pula sengaja berubah hati.
Bimbang sangat Mak Tua Tiamah apabila kenangkan dirinya semakin tua, sedangkan anak gadisnya yang bongsu masih belum berkahwin. Kakak dan abang Jemiyah semuanya sudah berkahwin, malah sudah mempunyai anak gadis juga. Tetapi Jemiyah tidak bimbang apa-apa pun sama ada akan berkahwin atau tidak. Kalau didesak oleh emaknya, dia sekadar tersengih-sengih sahaja menjelaskan, "Takkan perigi nak cari timba, mak."
Perkara perigi mahu mencari timba tidak penting pada Mak Tua Tiamah. Bukannya tidak ada lelaki yang masuk meminang, tetapi ada sahaja yang tidak sesuai di hati Jemiyah. Dia lebih rela tidak berkahwin sampai bila-bila pun sekiranya mahu dijodohkan dengan lelaki yang tidak berkenan pada hatinya. Mahu dikatakan Jemiyah memilih sangat pun tidak pula dia mahukan lelaki berkedudukan tinggi sahaja. Tatkala Manan masuk meminang, dia sendiri bersetuju. Apa sangat mahu dikira kedudukan Manan, hanya kerani di sekolah sahaja.
Tidak sampai dua bulan bertunang Manan pula kemalangan apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh kereta tengah laju. Tiga hari Manan terkejang di hospital tidak sedar diri. Semenjak Manan meninggal dunia akibat kemalangan, Jemiyah semacam takut mahu menerima pinangan siapa pun.
"Cuba-cubalah tengokkan adik ni, angah," ujar Mak Tua Tiamah sewaktu saya berkunjung ke rumahnya. "Risau aje mak tua, ada orang hendak dia tak hendak, kalau dia hendak orang pula tak hendak," dia menambah dalam keluhan pendek.
"Agaknya kena pelalau tu, mak tua," isteri saya terus sahaja menyampuk sebelum sempat saya menyahut.
."Entahlah, kalau iya kena pelalau, cubalah angah buangkan," tegas Mak Tua Tiamah dengan penuh harapan.
"Pelalau tu apa?" soal saya perlahan mengerling isteri saya.
"Ah, pelalau pun tak tahu," gerutu isteri saya mencemik muka. "Pelalau tu samalah macam sial, boleh jadi sial badan, boleh jadi sial kerana bencana orang," jelas isteri saya selanjutnya.
Saya mengangguk-angguk. Manalah saya tahu mengenai pelalau yang mengganggu Jemiyah hingga dia masih belum lagi menemui jodoh. Kalau ikutkan ayah saya perkara jodoh pertemuan, ajal dan maut hanya ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Tentulah jodoh Jemiyah belum lagi ditentukan hingga dia masih belum menemui jodohnya yang sesuai.
Tetapi Tok Aji seringkali ingatkan saya, Allah Subhanahu Wata'ala tidak akan mengubah nasib seseorang kecuali orang itu mengubah nasibnya sendiri. Memang apa pun yang dicakapkan kalau berpandu kepada al-Quran dan sunah Rasul adalah benar belaka, hanya manusia sahaja perlu menggunakan akal fikiran yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Sebab itulah saya tidak dapat memutuskan bagaimana mahu membantu Mak Tua Tiamah setelah dia mengadukan halnya. Semenjak kematian Pak Tua Mahat memang semakin bimbang, apabila kenangkan anaknya Jemiyah yang semakin berumur.
Macam-macam yang terlintas di kepalanya mengenai diri Jemiyah sekiranya dia meninggal dunia. Memanglah ajal maut dirinya dan jodoh pertemuan Jemiyah hanya ditentukan oleh Allah Subhanahu Wa-ta'ala, tetapi dia wajib juga berikhtiar supaya jodoh pertemuan anaknya biarlah sebelum dia menutup matanya rapat-rapat.
"Mak tua ni risaukan Jemiyah," ulangi Mak Tua Tiamah mencebik bibir. "Kalaulah pendek umur mak tua, takkan mahu adik beradik uruskan dia," lantas dia meluahkan rasa gelisah yang terbendung di hatinya sekian lama.
Memang dia tahu bukan Jemiyah sahaja gadis yang belum berkahwin dalam usia kian meningkat. Tetapi perkara gadis lain tidak berkahwin bukan urusan dia. Biarlah beberapa ramai pun gadis tidak berkahwin akibat diganggu pelalau memang Mak Tua Tiamah tidak peduli.
Tersengih-sengih Mat Sulap datang bersama Usin Berot, kerana dia menyedari tidak siapa pun tahu apa yang berlaku ke atas diri Raonah.
"Masanya dah tiba, dia minta kau Mat Sulap, mandikan!" ujar Tak Aji merenung muka Mat Sulap tidak berkedip mata.
Serba salah juga Mat Sulap mahu membantah disebabkan Tok Aji sendiri menyuruhnya. Bimbang juga dia mahu membantah sekiranya Tok Aji akan membukakan rahsianya di khalayak ramai. Tentulah Raonah sudah memberitahu segala rahsia dirinya kepada Tok Aji.
Terpaksalah Mat Sulap membantu mengangkat jenazah Raonah untuk dimandikan. Sebaik sahaja Mat Sulap sama mengangkat, mudah sahaja mereka mengalihkan jenazah Raonah dibawa ke tempat mandi. Setelah selesai dimandikan, Mat Sulap juga membantu mengangkat untuk dikapankan.
Setelah dikapan dan disembahyangkan, mayat Raonah juga tidak dapat diangkat masuk ke dalam usungan. Tiba-tiba sahaja mayatnya menjadi berat hingga tidak boleh diangkat langsung. Cuma Mat Sulap satu-satunya ikut sama membantu barulah mayat Raonah dapat diangkat ke dalam usungan.
"Kau terpaksa membantu Mat Sulap," tegas Tok Aji mengingatkan lelaki duda itu.
"Tentu kau buat salah dengan Raonah," lantas sahaja Ngah Sumi membentak kerana tidak dapat menahan sabar. Hatinya sudah mula berdetak menuduh tentu perbuatan Mat Sulap menyebabkan anaknya berbadan dua.
"Sumi, kau cuba bertenang dulu," suara Tok Aji keras sedikit marahkan Ngah Sumi. "Selesaikan urusan fardu kifayah ni dulu," dia ingatkan perempuan itu yang mudah sahaja tenggelam punca.
Macam mana marah pun Ngah Sumi dia terpaksa pendamkan dalam hati. Bimbang juga dia mahu membantah Tok Aji yang sudah bersusah payah semenjak beberapa bulan menjaga anaknya. Tentulah tidak baik kalau dia membantah, setelah Tok Aji satu-satunya yang sanggup memikul beban.
Memang sudah diduga oleh mereka yang sama-sama menghantar jenazah ke kubur, usungan mayat tidak dapat bergerak selagi tidak dibantu sama oleh Mat Sulap. Mereka bergilir-gilir memikul usungan, tetapi Mat Sulap tidak boleh digilirkan oleh sesiapa pun. Sekiranya Mat Sulap tidak ikut sama memikul usungan, sekaligus usungan menjadi berat tidak bersebab.
"Tentu Raonah yang mahu kau mengusungnya, Sulap," Tok Aji menepuk-nepuk bahu Mat Sulap meminta dia bersabar menempuh ujian demikian.
Mat Sulap mengangguk. Dia tidak membantah sekalipun terasa bahunya pedih melecet akibat memikul usungan tidak digilirkan oleh sesiapa pun. Jauh disudut hatinya Mat Sulap juga rela menunaikan tanggungjawabnya. Apa sangat dengan bahu melecet, kalau bandingkan dengan penderitaan Raonah mengandung sampai keguguran akibat dibelasah ayahnya.
Ketika jenazah mahu diturunkan ke kubur, masih juga tidak boleh diangkat disebabkan terlalu berat. Terpaksa Mat Sulap turun ke dalam kubur untuk menyambut jenazah. Semasa tanah dikambuskan, tiba-tiba sahaja Mat Sulap tidak dapat melepaskan diri. Kakinya terlekat tidak boleh melompat naik ke atas.
"Kenapa kau Sulap?" Leman Bauk segera menghulur tangan untuk menarik Mat Sulap naik ke atas. Setiap kali tangan Leman Bauk memaut tangan Mat Sulap, lantas sahaja terlucut disebabkan licin tidak dapat digenggam.
"Tok Aji, tolonglah Sulap tu," tidak bertangguh Ngah Sumi merayu disebabkan kasihan dengan lelaki duda itu yang bersusah payah membantu kebumikan jenazah anaknya.
Segera Tok Aji menghirup air talkin di dalam jag bagaikan berkumur-kumur lantas berdoa:
Qul-mai yunajjikum min-zulumatil barri wal-bahri tad-'u-nahu tadharru 'au-wa-khufyatan la-in anjana min-hazihi lanaku-nanna mi-minasy-syakirin.
Kemudian Tok Aji semburkan air di mulutnya ke kepala Mat Sulap sampai tiga kali.
Apabila ditarik ke atas oleh Leman Bauk, keadaan Mat Sulap bagaikan tidak sedar diri. Kakinya calar balar bagaikan dimamah binatang ganas. Semenjak kejadian itu pula, Mat Sulap menjadi tidak siuman. Kakinya yang calar balar itu semakin tenat hingga menjadi pekung tidak sembuh-sembuh, sekalipun puas dipupuk ubat.
"Kesiannya Kak Raonah tu, ustaz," keluh Semiah apabila kenangkan kejadian yang menimpa Raonah.
Tetapi Raonah tidak dapat bertahan lama, kerana beberapa minggu sahaja di rumah Tok Aji, dia semakin tidak sihat. Derita yang ditanggungnya memang akibat dipukul teruk oleh ayahnya Leman Bauk. Kalau tidak dileraikan oleh Tok Aji, tentu keadaan Raonah tidak dapat diselamatkan.
Sebaik sahaja Raonah terjerit-jerit menanggung beban dibelasah oleh ayahnya, tidak bertangguh Yusak berlari ke rumah Tok Aji. Dia memberitahu segala kejadian yang berlaku. Tatkala Tok Aji jejak kaki ke rumah Leman Bauk, keadaan Raonah sudah terlalu lemah. Ngah Sumi hanya teresak-esak sahaja menekup muka tidak tergamak melihat keadaan anaknya.
Setelah dibawa tinggal bersama Tok Aji, dia disuruh bangun setiap tengah malam sama-sama tunaikan solat sunat tahajud. Saya sendiri bersama Yusak sengaja tidur di madrasah, kerana ingin bangun tengah malam bersama Tok Aji.
Selepas solat sunat tahajud, Tok Aji mengajak bersama-sama membaca Yassin. Tetapi Raonah disuruh oleh Tok Aji amalkan membaca sebanyak 70 kali:
Hasbiallahhu wa-nikmal-wakil nikmal-maula wa-nikman-nasir.
Raonah patuhi segala yang diajarkan oleh Tok Aji, supaya dirinya dapat bertaubat sekiranya sudah melakukan kesalahan dan dosa. Tok Aji mahu Raonah benar-benar insaf atas setiap kesalahan yang nyata dan tersembunyi. Disebabkan mahu membuktikan dirinya tidak melakukan apa-apa kesalahan itulah Raonah gagahi juga bangun tengah malam tunaikan solat tahajud.
Memang siapa pun tidak mempercayai dirinya, apabila tiba-tiba sahaja merasakan dirinya terjebak di dalam pondok buruk bangsal menunggu durian. Dia menjadi gelisah sekiranya tidak dapat menemui Mat Sulap duda beranak empat di bangsal menunggu durian jauh di hujung kampung.
Mat Sulap duda bergigi jongang itu memang sudah lama inginkan Raonah menjadi isterinya. Tetapi Raonah tidak mahu melayani duda yang hampir sebaya dengan ayahnya itu. Selepas dia beberapa kali melarikan diri dari Mat Sulap tatkala terserempak di tengah jalan, kerapkali dia bermimpi lelaki itu datang memujuknya.
Setiap kali balik dari madrasah, Raonah merasakan langkahnya bagaikan dipimpin oleh angin membelok ke bangsal menunggu durian di hujung kampung. Puas dia mencuba mahu membelok ke simpang rumahnya, tetapi tolakan angin lebih keras mengheretnya. Saat ini dengan hanya mendengar bisikan suara Mat Sulap sahaja memanggilnya sehingga dia lupa keadaan di sekeliling.
Sebaik sahaja bertentang mata dengan Mat Sulap yang menunggu di bangsal, Raonah bagaikan kaku tidak boleh bergerak sendiri. Dia merelakan sahaja Mat Sulap melakukan apa sahaja dengan tidak membantah langsung.
"Raonah jangan bimbang, abang sayangkan Raonah," bisik Mat Sulap bagaikan anak teruna gagah memujuk.
"Raonah bukannya cantik," sahut Raonah terkejang kaku tidak bergerak apa-apa.
"Siapa cakap Raonah tak cantik," Mat Sulap semakin yakin bahawa gadis itu sudah terjebak dalam amalan ilmu pengasihnya.
Raonah terdiam. Air matanya sahaja mengalir apabila kenangkan Mat Sulap dapat memerangkap dirinya. Apabila dia balik ke rumah, terlalu kesal di hati Raonah. Mahu sahaja ketika itu dia menghunus parang menyerbu untuk memenggal leher Mat Sulap.
Tetapi apabila balik sahaja dari madrasah selepas asar, Raonah akan merasakan hatinya berdebar-debar. Lama kelamaan dia tidak tahu apa berlaku kepada dirinya apakala terasa tolakan angin menyebabkan kakinya bagaikan tidak berjejak di bumi. Dia hanya menurut sahaja ke mana ditolak angin bersama bisikan suara Mat Sulap memanggil namanya.
Saat ini memang Mat Sulap menghayun buah limau yang digantungnya dibangsal menunggu durian itu. Siapapun tidak akan menjengah ke situ sekiranya bukan musim durian gugur. Tentu tidak ada orang melintas tatkala dia membakar kemenyan dengan menghayun buah limau itu seperti buaikan bayi dalam bedungan.
Limau dibungkus kain putih dan diikat dengan benang tujuh warna itu dibuai berulang kali sampai terdengar bisikan Raonah memanggil namanya. Memang Mat Sulap tahu suara Raonah yang memanggil dia bukanlah gadis itu sendiri, tetapi jembalang tanah yang dijadikan suruhan untuk membawa Raonah ke situ.
Apabila dia sudah menyeru:
Cubalah perempuan sengaja menolak pujuk rayunya kalau hatinya sudah benar-benar terpikat. Mat Kerubung akan menunggu sehingga bulan mengambang penuh, memerhatikan cahayanya bersinar memancar. Dia akan cancangkan tujuh batang lidi di tepi busut sehingga bayang bayang puncak busut terkepung dalam tujuh batang lidi yang dipancang.
Dia akan menyeru sampai tujuh batang lidi yang tercancang itu bergerak seolah-olah memberi isyarat. Ketika ini Mat Kerubung sudah nekad tidak akan menyerah kalah lantas menyerukan jampi serapahnya:
"Assalammualaikum ya Jibrail, Waalaikum ya Mikail, langit bapaku bumi ibuku, nursani nama engkau si anu, insan terjali nama aku, Asyhaduan la-illahha illallah, wa-asyhadu-anna Muhammaddar rasullullah."
Sebab itulah Semiah tahu sangat perangai Mat Kerubung yang suka habiskan masa di kedai majong di pekan kecil. Dia sanggup mengayuh basikal balik tengah malam hingga tiga batu dari pekan kecil berkenaan, semata-mata main majong bersama kawan-kawan Cina. Mat Kerubung tidak peduli fasal isteri-isterinya sama ada cukup beras atau keperluan hariannya.
Bersambung...
Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
Selepas 20 tahun kejadian menimpa Raonah itulah Ucu Yasin pula menanggung malu apabila anak gadisnya Semiah mengandung. Kejadian itu berlaku hanya beberapa bulan sahaja saya berpindah ke kampung berkenaan jauh di kawasan pendalaman.
"Maafkan saya ayah," keluh Semiah dalam tangisan kesal yang tidak terhingga memegang kaki ayahnya yang tercegat di tingkap.
"Seribu kali kau minta maaf pun, malu ni tak dapat juga dibuang," ujar Ucu Yasin terharu menanggung sebab di dada.
"Dengan budak jantan mana, Semiah?" emaknya Kak Binah pula mendesak kerana tidak sabar lagi dengan sikap Semiah cuba menyembunyikan lelaki yang menyebabkan dia mengandung. "Kalau budak jantan tu mahu, kahwin aje," tegasnya tidak dapat mengawal lagi kekesalan yang menusuk ke hatinya.
Memang Kak Binah sendiri tidak akan membantah sekiranya lelaki yang menyebabkan anaknya mengandung itu bersedia mengambil Semiah menjadi isteri. Biarlah Semiah berkahwin sahaja dengan lelaki berkenaan kalau mereka sudah suka sama suka untuk hidup bersama.
Tetapi Semiah hanya membisu tidak memberitau apa-apa. Setiap kali didesak Semiah hanya menggeleng sahaja sambil tersengguk-sengguk mengesat pelupuk matanya. Berat sangat hatinya mahu menerangkan siapakah lelaki yang tidak bertanggungjawab itu hingga menyebabkan dia mengandung masuk lima bulan.
"Cubalah ustaz pujuk, manalah tahu dia mahu beritahu pula," Ucu Yasin berharap sangat apabila mengadukan halnya kepada saya.
Disebabkan Ucu Yasin sudah macam keluarga saya juga, terpaksalah saya bersetuju mahu menyelesaikan masalahnya. Ketika negara baru sahaja mencapai kemerdekaan perhubungan di antara kampung berkenaan dengan pekan kecil yang berhampiran juga masih rumit lagi.
Puas saya memujuk Semiah, lama baru dia menuturkan dalam keadaan terputus-putus suara memberitahu: "Kalau saya beritahu pun takkan ustaz mahu percaya."
"Semiah berilah tahu, manalah tahu ustaz boleh membantu," isteri saya pula memujuknya.
Memang Semiah sudah menganggap isteri saya sama macam emaknya sendiri. Dia tidak segan-segan memberitahu apa sahaja mengenai dirinya kepada isteri saya.
"Mak percaya tak kalau Semiah ceritakan?" Semiah masih ragu-ragu untuk menerangkan sambil mengerling saya yang mendengarkan dengan teliti.
"Ceritalah, mak dengan ustaz percayakan Semiah," isteri saya terus memujuknya. Semakin terdesak Semiah. Hatinya bertambah sebak apabila kenangkan Mat Kerubung yang sudah memutih uban di kepala. Beberapa kali Mat Kerubung mengusiknya, Semiah hanya memasamkan muka sahaja. Tidak diduganya Mat Kerubung yang boleh dipanggil datuk masih mahu mengusik anak gadis sepertinya.
Memang dia bimbang sekiranya berselisih di jalan dengan Mat Kerubung. Matanya yang meliar itu sudah cukup membimbangkan Semiah. Dia tetap akan melarikan diri kalau terserempak Mat Kerubung di mana-mana. Benci sangat dia dengan sikap Mat Kerubung yang sudah banyak kali beristeri. Tidak seorang pun isterinya yang kekal lama hidup bersama.
Paling lama pun hanya dua tahun sahaja isterinya bertahan macam Uda Tihah. Ketika masih bersama dengan Uda Tihah, dia berkahwin lagi dengan Utih Encom. Tidak bertangguh Uda Tihah meminta dilepaskan kerana dia tidak mahu berrnadu dengan sepupunya sendiri.
Tetapi dengan Utih Encom tidak kekal lama dia berkahwin. Dua bulan sahaja hidup bersama lantas Mat Kerubung ceraikan. Selepas itu Mat Kerubung berkahwin pula dengan Ibah Janda, sampai bermadu tiga orang. Disebabkan Ibah Janda seringkali bergaduh dengan dua orang lagi madunya, terus sahaja Mat Kerubung mengambil keputusan menceraikan semuanya sekali.
Siapa yang tidak tahu di kampung tersebut mengenai perangai Mat Kerubung yang berkahwin dan bercerai macam menukar pakaian setiap hari. Semakin tua usianya perangai Mat Kerubung tidak juga berubah. Tatkala sudah dua orang isterinya itulah, dia cuba mengganggu Semiah pula.
Aki Mihin tidak menyahut. Dia memandang Wak Sikim yang berpaling tidak mahu menatap mukanya. Tetapi dia tetap bersabar selagi Mat Delit melayani dia dengan baik. Dia datang menjengah Lasiah pun bukan disebabkan Wak Sikim, tetapi kenangkan Mat Delit yang sentiasa merendah diri setiap kali bertutur.
"Kalau Abang Mihin boleh ubatkan, cubalah," ujar Mat Delit perlahan.
"Dah ramai dukun mengubatnya tak termampu," Wak Sikim tiba-tiba bersuara keras. "Manalah tahu penyakit sembuh, kalau dapat dicari puncanya," dia sengaja mengejek untuk melepaskan perasaan geram yang mendongkol di hati.
"Wak, cuba bertenang dulu," Mat Delit meninggikan sedikit suaranya kerana bimbang Aki Mihin akan tersinggung. Tetapi Aki Mihin hanya tersengih-sengih sahaja.
"Delit pun tahu kita makhluk tak upaya nak mengubat," sahut Aki Mihin ikhlas. "Saya serahkan pada, Delit, dan saya akan membantu, insya-Allah," tegasnya dalam keluhan memanjang.
Mat Delit hanya membuat keputusan untuk membacakan Yassin sahaja di sebabkan tidak ada ikhtiar lain lagi. Keadaan Lasiah juga sudah semakin tenat. Kalau Wak Sikim menggunakan akal fikiran, tentu dia dapat menilai keikhlasan Aki Mihin menjengah Lasiah, memang bukan dia yang tergamak melakukan perbuatan sihir.
Tiga maghrib Mat Delit mengajak jiran jiran membacakan Yassin beramai-ramai, Lasiah meninggal dunia juga. Aki Mihin sendiri duduk di hujung kaki gadis itu membaca Yassin, tatkala Lasiah perlahan-lahan menghembuskan nafas.
Sebaik sahaja Lasiah meninggal dunia, tiba-tiba sahaja halaman rumah Wak Sikim gempar disebabkan riuh orang memekik-mekik tidak menentu. Tatkala disuluh ke tengah halaman Uda Biyah melihat Kusip anak saudara Sikim berlari-lari di tengah halaman itu
"Aku nak ikut Lasiah aku nak ikut," Kusip jerit-jerit di tengah halaman. sewaktu orang ramai membujurkan mayat di tengah rumah.
"Kenapa kau ni, Kusip?" jerkah Wak Sikim dari pintu serambi terkejut dengan kelakuan anak kakaknya itu. Memang dia tahu fasal kusip seringkali mengusik Lasiah, tetapi anak gadisnya tidak melayani sangat. Kalau Lasiah tidak membantah, Wak Sikim juga tidak melarang Kusip dijodohkan dengan anaknya.
Kusip tidak menyahut. Dia terus menjerit-jerit dalam kegelapan malam hingga terpaksa dileraikan. Wak Sikim sendiri bersama beberapa orang jiran mengheret Kusip naik ke rumah. Tetapi Kusip tidak mahu masuk ke dalam menjengah jenazah Lasiah.
"Aku nak kahwin dengan Lasiah," ujar Kusip mengongoi-ngongoi dalam suara tergigil-gigil.
"Lasiah dah meninggal, Kusip," Uda Biyah tersengguk-sengguk menahan kesedihan yang menyebak di dada.
"Aku mesti kahwin dengan Lasiah!" rungut Kusip tidak henti-henti mengongoi-ngongoi.
Semenjak kematian Lasiah itu, Kusip menjadi tidak siuman. Dia melilau sekeliling kampung memberitahu mahu berkahwin dengan Lasiah. Kadangkala dia duduk di perdu rumpun pisang memanggil orang lalu lalang kipaskan dia bersanding dengan Lasiah di situ.
Tahu sangat Wak Sikim, memang Kusip yang tergamak menyebabkan Lasiah terlantar sakit. Kusip sanggup meminta pertolongan batin Orang Asli di hutan semata-mata mahu menundukkan hati Lasiah. Tidak disangkanya pula ilmu pengasih yang dikenakan kepada Lasiah, bertukar menjadi penyakit yang menyeksa dirinya hingga menemui ajal yang ditentukan Allah Suhhanahu Wataala demikian.
Kekesalan inilah ditanggung oleh Aki Mihin. Kalau tidak disebabkan dia juga memuja Lasiah dengan ilmu pengasih, tentulah hati Lasiah boleh dipujuk mengasihi Kusip. Selepas itulah Aki Mihin mengambil keputusan membawa keluarganya berpindah ke kampung yang baru.
"Memang aki yang turunkan ilmu pengasih tu pada Lamat, ustaz," beritahu Lebai Bahamit, mengerling saya yang tertunduk mengeluh pendek. "Tentu susah nak percaya cerita macam ni, betul tak ustaz?" dia menambah kerana bimbang saya tidak mempercayai cerita mengenai Aki Mihin itu.
Tamat bab 158.
Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
Bila-bila Aki Mihin sanggup bertahan apabila Wak Sikim menerpa bagaikan harimau terlepas kurungan. Dia tahu bagaimana gurunya Malim Timin membuka langkah tatkala Jahid Gila mengamuk hingga memukul kepala neneknya dengan antan pengemping. Siapa lagi berani menghalang Jahid Gila bertubuh besar tegap itu, kalau bukan Malim Timin?
Terkial-kial adiknya Jahid Gila tengah penyakitnya naik pasang itu, apabila dipegang jari oleh Malim Timin. Jahid Gila tersentak laksana disambar karan elektrik sebaik sahaja jarinya tersentuh tangan Malim Timin yang menunggunya tidak berganjak sedikit pun.
Cubalah siapa pun menerkam tatkala Malim Timin sudah membiarkan dirinya berada di dalam bayang alif lantas membacakan :
Asyha-du tegak aku seperti alif, berdiri aku seperti zat, lenyap aku dalam kandang, kandung kalimah la-illahha illallah, berkat hu Allah
Tetapi Aki Mihin bukan berniat mahu memperagakan amalan Malim Timin kecuali apabila dia terdesak sahaja. Selagi Wak Sikim tidak berkeras, dia juga tidak akan menunjukkan belang. Hanya berdepan dengan Mat Delit sahaja dia merasa tidak sanggup mahu berkeras. Hatinya menjadi lemah tidak bertenaga sebaik sahaja mendengar tutur kata Mat Delit yang amat lembut menusuk ke jiwanya.
Dia menjadi belas setiap kali kenangkan Lasiah yang baru berusia 18 tahun itu dianiaya dengan amalan ilmu pengasihnya. Kalau hatinya tersinggung dengan Wak Sikim, kenapa pula Lasiah yang mesti dianiaya? Memang disebabkan Mat Delit menemuinya itulah, Aki Mihin terpaksa mengalah.
Tiga malam berturut-turut dia membakar kemenyan membuka semula bungkusan limau diikat benang tujuh warna itu lantas membacakan surah an-Nas didahulukan dengan diikuti surah al-Falaq dan surah al-Ikhlas. Kemudian dia memohon kepada Allah Sub-hanahu Wata'ala supaya Lasiah lupakan sahaja dirinya.
Seminggu selepas itu Mat Delit datang menemuinya lantas menepuk-nepuk bahunya sambil menuturkan, "Terima kasih Abang Mihin, saya hormati amalan Abang Mihin, tapi yang Maha Berilmu hanya Allah Subhanahu Wata'ala."
Aki Mihin mengangguk perlahan. Dia tahu Mat Delit tidak sama dengan Wak Sikim yang keras kepala disebabkan pengalamannya mengajar pencak silat pada anak-anak muda. Siapa pun tidak dihiraukan apabila dia mula mengarut mencabar lawan. Tetapi belum pernah pula dia berdepan dengan Malim Timin setiap kali mengarut menunjukkan garang.
Masakan guru mengaji Quran yang lemah lembut seperti Mat Delit mahu berkeras tidak menentu. Dia sendiri menjadi serba salah apabila lelaki itu menemuinya meminta lepaskan Lasiah. Bagaimana Mat Delit boleh menuduh dia gunakan amalam ilmu pengasih untuk memikat anak gadis berusia 18 tahun itu?
Tetapi memang dua malam berturut-turut Aki Mihin bermimpi seolah-olah kalau Mat Delit melangkah kepalanya. Setiap kali dia cuba mengelak, Mat Delit bagaikan duduk di awan-awangan melangkahi kepalanya menyebabkan dia gelisah tidak menentu. Sebab itulah dia terpaksa juga bangun di tengah malam membuka bungkusan limau berikat benang tujuh warna..
"Saya minta maaflah, Delit," tidak disedari lagi Aki Mihin dia menjelaskan demikian di hadapan Mat Delit.
Lama juga selepas pertemuan dengan Mat Delit itu, Aki Mihin sentiasa melarikan diri kalau terserempak keluarga Lasiah. Jauh di sudut hatinya memang dia sudah melupakan anak gadis tersebut. Dia tidak akan menganiaya Lasiah yang hanya baru berusia 18 tahun sahaja, kalau dibandingkan dengan usianya yang melebihi 40 tahun ketika itu. Tentulah tidak manis dia mempermainkan anak gadis itu, sedangkan dia sendiri lebih tua daripada Mat Delit.
Hinggalah kejadian Lasiah tiba-tiba sakit meracau tidak menentu menyebabkan dia hilang ingatan langsung. Sebulan Lasiah terlantar tubuh badannya yang gempal menjadi kurus merincing. Marah benar Wak Sikim dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.
"Tentu kerja Mihin,” Wak Sikim mencapai parang di dinding mahu menyerbu ke rumah Aki Mihin. "Dulu dia yang tergila gila dengan Lasiah," gerutunya menggertap bibir, tidak dapat lagi menahan sabar apabila anak gadisnya terlantar sakit.
Semenjak itu satu-satunya orang yang disegani oleh Wak Sikim di kampung, memang adik iparnya Mat Delit. Di sebalik sikap lemah lembut Mat Delit itu, Wak Sikim tidak berupaya mahu berkeras. Dia akan mengalah sekiranya Mat Delit sudah tercegat menghalangnya.
Tetapi selain daripada Mat Delit di kampung itu jangan cuba mahu angkat muka di depan Wak Sikim. Bila-bila sahaja dia sanggup cekak leher mengibas mata parang tidak bertangguh. Masakan anak-anak muda di tengah sawah berani mengganggu Lasiah tatkala berjengket-jengket kaki melangkah di permatang.
Dalam kebimbangan anak-anak muda berdepan dengan Wak Sikim inilah Aki Mihin cuba mengujinya. Tiga malam berturut-turut dia hayunkan limau berbungkus kain putih diikat dengan benang tujuh warna sambil menyanyikan jampi serapahnya:
Batu luak batu nani, dititik nila menila, di mana aku mandi, si anu sudah gila, dalam nasi beras pulut, sapu tenggang dibawa jati lalu, di mulut si anu sudah renggang, air diminum tidak lalu, aur ditendang pembetung tumbuh, pucuk mengilai lalu seberang, cari kain warna tujuh, buat pelimbai semangat si anu, bawa kepada aku, kalau kau tak pandang muka aku, kau gila tak makan gila tak minum, berkat la-illahha illallah hu
Setelah tiga malam dia nyanyikan jampi serapahnya tidak juga memberi kesan, lantas Aki Mihin meniup seruling buluh di perdu pokok dedali di permatang sawah. Sayup-sayup bunyi tiupannya hingga mengimbau jauh ke pelosok kampung.
Bersambung...
Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
Memang dia tahu Lamat Tebong sejak muda lagi sudah amalkan ilmu pengasih yang diturunkan oleh Aki Mihin, tetapi tidak pula Utih Berahim duga boleh membawa padah buruk. Kalau Aki Mihin tidak mengalami apa-apa padah buruk, kenapa pula Lamat Tebong terpaksa melalui jalan yang demikian menyedihkan.
Selepas kematian Birah, tahu sangat Utih Berahim perubahan kawannya itu. Seringkali dia terserempak Lamat Tebong bercakap sendirian menyebut-nyebut Birah seolah-olah berhadapan dengan arwah isterinya itu. Apabila dia tanyakan mengenai kelakuannya, Lamat Tebong tetap berdalih bagaikan tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.
Ketika sama-sama memikat tekukur di tepi belukar sewaktu isterinya masih hidup, memang kerapkali Lamat Tebong mengeluh tidak mempunyai anak. Berkali-kali dia memberitahu fasal Birah tidak akan mengandung sampai bila-bila.
Hanya takat itu sahaja Utih Berahim tahu mengenai diri Lamat Tebong. Dia tidak perlu bertanyakan punca kenapa kawannya itu mengeluh fasal Birah tidak boleh mengandung. Perkara menentukan seseorang itu boleh mengandung atau tidak bukannya urusan manusia.
Dia pun tahu bagaimana Nabi Zakaria tersengguk-sengguk menahan rasa terharu kerana bersyukur setelah menerima wahyu mengenai isterinya yang telah berusia tua mengandung. Kalau nabi Allah sendiri tidak dapat menentukan perkara isterinya boleh mengandung ataupun tidak, apa sangat manusia biasa.
Tetapi Utih Berahim sekadar mendengar syarahan Lebai Bahamit selepas solat maghrib di surau sementara menunggu masuk waktu isyak. Manalah Utih Berahim tahu sangat mengenai ayat 7, 8 dan 9 dalam surah Mariam itu, kalau Lebai Bahamit tidak menjelaskan.
"Dah diberi makan kotor, macam mana nak beranak," keluh Lebai Bahamit sewaktu berdua sahaja dengan saya di surau berteduh daripada hujan selepas menunaikan solat asar. Mungkin disebabkan langit gelap sebelum masuk asar, tidak ramai yang datang berjemaah di surau.
Entah kenapa mahu sahaja Lebai Bahamit menyebut fasal Lamat Tebong apabila berhadapan dengan saya. Biasanya dia sentiasa berahsia sekiranya beberapa orang terconggok sama berbual, kalau sebut mengenai kejadian yang menimpa Lamat Tebong selepas kematiannya.
"Kalau ustaz tak terserempak, memang orang kampung anggap perkara tu kejadian aneh," tutur Lebai Bahamit memerhati titis hujan yang jatuh di cucur atap surau.
Disebabkan aneh itulah mereka semua menjadi takut, sehingga mereka tidak berusaha mahu membantu. Sekiranya mereka menyedari akan ketentuan Allah Subhanahu Wata'ala, tentulah mereka sama-sama berdoa biar roh sesiapa sahaja yang sudah meninggal dunia dicucuri rahmat Allah.
Kalau Lamat Tebong tidak memberitahu mengenai amalan yang diturunkan oleh Aki Mihin itu, memang Lebai Bahamit tahu tentu orang tua itu yang memberi petua. Masakan dia membiarkan cucu kesayangannya tidak dilayani oleh perempuan yang terasa berkenan di hati.
Aki Mihin menduda selepas kematian isterinya bukan disebabkan dia bimbang apa-apa, tetapi dia merasa keinsafan yang mendalam di dalam jiwanya. Memang dia mengaku di hadapan cucu menantunya Lebai Bahamit mengenai perbuatan kejinya semasa usia masih muda. Kadang-kala dia sengaja membawa perempuan balik ke rumah seolah-olah memperaga di hadapan isterinya.
Keinsafan itulah menyebabkan dia tidak mahu lagi berkahwin semata-mata mahu mengganti isterinya. Setelah keinsafan menular dalam jiwanya Aki Mihin juga melayani isterinya dengan baik. Tidak lagi bersikap kasar macam tidak menghargai langsung isterinya.
Dia juga mengaku di hadapan Lebai Bahamit menurunkan amalan cacing gelang kepada Lamat Tebong, sampai cucunya itu mengikut jejak langkahnya tidak hiraukan langsung isterinya Birah.
Aki Mihin tahu memang Birah sudah diberi makan serbuk cacing gelang yang keluar dari najis Lamat Tebong. Sebab itulah perempuan itu tidak terdaya lagi mahu berenggang, sekalipun Lamat Tebong tidak pedulikan dirinya.
"Bimbinglah adik kau tu, Bahamit," pesan Aki Mihin tatkala seluruh tubuhnya semakin lemah.
Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
Читать полностью…Kepantangan sangat pada Lamat Tebong kalau perkara rumahnya tidak berberas diberitahu kepada orang lain. Biar dia kebulur sampai mati pun, Lamat Tebong tidak akan meminta-minta. Tetapi Birah tidak dapat menahan rasa lapar sekiranya Lamat Tebong tidak membawa beras balik ke rumah. Sebab itu dia sanggup meminjam segenggam dua pada Mak Demah atau Kak Tiah.
Asal sahaja Lamat Tebong mendapat tahu Birah meminjam beras nescaya akan ditamparnya melepaskan geram. Birah terpaksa menahan kesakitan dengan tidak berani menjerit kuat. Kalau dia menjerit juga, sudah tentu Lamat Tebong bertambah berang macam harimau terlepas kurungan.
Sebab itulah Lebai Bahamit nasihatkan dia supaya tunaikan solat sahaja memohon perlindungan Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Penyayang.
Tengah malam pun Birah sanggup bangun tidur untuk tunaikan solat tahajud untuk mententeramkan hatinya yang tidak dapat melepaskan diri daripada deraan Lamat Tebong. Setiap malam Birah bangun tunaikan solat sunat tahajud air matanya bercucuran apabila membacakan doa yang diajarkan oleh Lebai Bahamit:
Allahhumma yamannuruhu fis-sirrihi wa-sirruhu fi-khalqihi ikhfini 'ana'kyunin nazirina wa-qulubil hasidina wal-bag-hina kama-hafaztarruha fil-jasadi in-naka 'ala kulli-syai-in qadir.
Hampir sebulan dia tunaikan solat tahajud tengah malam itu, dia termuntah-muntah esok paginya bagaikan air perlimbahan jatuh ke longkang. Hitam bukat muntah yang terjeluih dari mulut Birah hingga baunya juga busuk berwap-wap.
"Apa yang kau makan, Birah?" tanya Kak Tiah apabila melihat muntah adik iparnya, sebaik sahaja diberitahu Birah sakit perut memual-mual.
"Agaknya kau tak makan nasi ni," lantas sahaja Lebai Bahamit menuduh disebabkan keadaan Birah semakin lemah setelah muntah seharian.
Birah tidak memberitahu apa-apa. Sekalipun Lamat Tebong tidak duduk di sisinya ketika itu, namun dia tidak berani membuka mulut apa-apa sama ada dia menjamah nasi ataupun tidak. Sejak paginya dia terlantar tidak dapat bangun pun, Lamat Tebong tidak nampak muka hidung langsung setelah turun menjinjing sangkar denak memikat tekukur.
"Kau sudah makan ke, Birah?" Kak Tiah juga tidak sedap hati melihat keadaan adik iparnya muntah tidak henti-henti macam air perlimbah hitam bukat.
Birah mengangguk lemah. Sekali-sekala dia menekan-nekan perutnya menahan senak yang menusuk-nusuk. Lantas Kak Tiah bawakan nasi biar perut Birah diisi juga. Setidak-tidaknya tenaga Birah boleh pulih semula supaya penyakitnya beransur baik.
Berselera juga Birah makan berlaukkan ikan sepat goreng berlada campur belimbing. Tahu benar Kak Tiah memang Birah tidak menjamah nasi sejak beberapa hari kecuali merebus pisang muda untuk mengalas perutnya. Tetapi Birah tidak berani membukakan rahsia tersebut kepada sesiapa pun termasuk juga Kak Tiah.
Dia tahu padahnya kalau memberitahu fasal tidak menjamah nasi atau merebus pisang muda untuk mengalas perut. Tentu Lamat Tebong akan memberang melepaskan marah yang mendongkol di hati. Badannya akan menjadi sasaran tamparan keras apabila Lamat Tebong sudah memberang.
Tengah malamnya, Birah bangun juga tunaikan solat sunat tahajud sekalipun tubuhnya semakin lemah. Hingga dia tertidur di atas tikar sembahyang Birah sendiri tidak sedar langsung. Hanya sudah lama subuh berlalu barulah dia tersentak jaga.
Sewaktu terlena di atas tikar sembahyang itulah Birah seolah-olah bermimpi melihat Lamat Tebong buang air besar selepas memakan pucuk genggang biar cacing gelang di perut keluar bersama najis. Cepat-cepat Lamat Tebong mencekup cacing gelang yang keluar bersama najis itu lantas dibasuh bersih.
Cacing itu dijemur sampai kering hingga gemersik macam ikan salai yang garing. Setelah dijemur dia rendang pula di kuali biar cacing tersebut mudah ditumbuk halus menjadi seperti serbuk kopi. Lamat Tebong menyimpan baik-baik serbuk cacing galing itu di botol dengan ditapakan di atas busut jantan sampai tujuh malam.
Serbuk cacing gelang yang sudah ditapakan di atas busut itu dijampi serapah oleh Lamat Tebong dengan membacakan:
#KoleksiTokAwangNgahBab157
PADAH AMALAN CACING GELANG
(Bab 157 bahagian 2)
Lama kelamaan keadaan Lamat Tebong terbiar tidak diuruskan. Hanya setelah beberapa hari tidak menjamah nasi dipelawa juga oleh Kak Tiah makan ke rumah. Tetapi Lamat Tebong bukanlah mudah mahu mengajak makan kalau sekadar dipelawa menyuruh datang sahaja. Malu juga dia mahu mengharapkan belas kasihan orang lain sekalipun Kak Tiah itu kakaknya sendiri.
Lainlah kalau Lebai Bahamit yang mengajaknya. Cuma Lebai Bahamit satu-satunya yang menyara keluarga kakaknya. Dia tidak berhak menumpang belas kasihan sekiranya tidak diajak oleh Lebai Bahamit. Memang keras hati Lamat Tebong tidak mudah dilentur dengan pujuk rayu sesiapa pun.
Beberapa bulan saya di kampung itu tidak pernah pula terserempak jelmaan Lamat Tebong duduk di pelantar dapur bermain dengan tekukur. Kalau ada pun cuma sangkar tekukur yang sudah tinggal rangka tergantung di alang rumah. Tidak ada siapa pun berani mengusik rangka sangkar yang tergantung di situ.
Bahkan rumah peninggalan Lamat Tebong itu juga tidak siapa pun berani merobohkan. Mijun yang sudah dewasa tidak mahu mendesak emaknya robohkan rumah berkenaan, kerana bangunan buruk itu tidak mengganggu apa-apa. Sekiranya runtuh terjerembap ke bumi bangunan berkenaan tidak akan menimpa siapa pun. Biarlah ia tersergam di situ menjadi kenangan abadi sebagai peninggalan arwah moyangnya Aki Mihin.
Rumah kayu tersergam itu memang dibina oleh Aki Mihin sendiri. Dia menebang pokok penak di kaki bukit tengah hutan lantas mengheretnya balik ke kampung. Pokok penak itu ditarah sebelum ditegakkan menjadi tiang dengan tidak dibelah-belah langsung.
Sampai bila pun tiang rumah pokok penak itu tidak akan reput dimakan anai-anai. Bangunan yang ditegakkan oleh Aki Mihin tidak akan runtuh menyembam ke bumi selagi pokok penak tidak reput. Kalau roboh pun cuma dindingnya atau atapnya sahaja. Sesiapa pun boleh gantikan dinding atau atap kalau mahukan rumah peninggalan Aki Mihin terus tertegak megah.
Mijun tidak mahu gantikan dinding kulit kepung dengan papan yang lebih kukuh. Biarlah atap rembianya juga tidak diganti dengan zing, sekalipun sudah banyak tiris di semua bahagian. Apalah gunanya diganti sekiranya rumah tersebut tidak ada siapa mahu mendiaminya?
Disebabkan jauh mahu berulang alik ke pekan kecil, Utih Berahim bersetuju sewakan rumahnya RM15.00 sebulan kepada saya, kerana dia bersama isterinya tinggal di rumah emak mertuanya. Lagipun anaknya cuma seorang sahaja tidak perlukan rumah besar.
Rumah tanjak Melayu kepunyaan Utih Berahim itu memang berdekatan dengan rumah peninggalan arwah Lamat Tebong, hanya dipisahkan oleh belukar senduduk sahaja. Kalau berdiri di bahagian dapur memang boleh nampak rumah tersebut, kerana halaman rumah Utih Berahim bertemu dengan rumah emak mentuanya.
Semenjak beberapa bulan saya mendiami rumah Utih Berahim, tidak kedengaran pun sebarang kejadian aneh. Pernah juga emak mentuanya Andak Lijah ingatkan saya fasal jelmaan Lamat Tebong, tetapi saya sekadar mengangguk sahaja.
"Kalau ustaz nampak apa-apa, janganlah tegur," beritahu Andak Lijah sebaik sahaja saya mendiami rumah Utih Berahim. "Biarkanlah dia tubuh halus, tak baik kita ganggu," katanya menasihati saya sekiranya terserempak jelmaan berkenaan di pelantar dapur.
"Jangan takutlah ustaz, dia pun tak kacau kita," Utih Berahim pula mengingatkan kerana bimbang saya tergamam sekiranya jelmaan itu tiba-tiba terconggok di situ.
Memang saya tidak berniat mahu terserempak jelmaan Lamat Tebong di rumah berkenaan, tetapi saya tidak akan berundur sekiranya bayangan itu terconggok di situ. Tidak perlu kita takut kepada sesama makhluk, sekiranya kita tidak mempunyai niat yang tidak baik.
Ketika bangun pagi hendak tunaikan solat subuh saya melihat api pelita di dapur rumah peninggalan Lamat Tebong. Disebabkan saya sudah diberitahu mengenai kejadian di rumah berkenaan, tidaklah terasa bimbang apa-apa lagi.
Lamat Tebong tidak pernah makan sekiranya dia asyik memikat tekukur. Kadangkala berhari-hari dia tidak menjamah nasi, hingga terpaksa dipelawa oleh Kak Tiah datang ke rumahnya untuk makan. Kalau memikat tekukur pun bukannya pernah mengena, selain daripada seharian mengendap di tengah belukar.
Tetapi Lamat Tebong tidak pernah serik. Perkara memikat tekukur bukan perlu dapat memerangkap burung berkenaan, tetapi dia seronok mengendap di tengah belukar habiskan masanya sampai santak senja.
Selepas Utih Berahim beritahu kelakuan Lamat Tebong bercakap seorang diri di perdu pokok enau kepada Dukun Sunap, memang orang tua itu menuduh lelaki itu bercakap-cakap dengan isterinya. Dia percaya Lamat Tebong memang berkahwin dengan orang bunian di belukar berkenaan.
Apalagi kakaknya Kak Tiah sudah beberapa kali melihat dapur rumah Lamat Tebong berasap laksana ada orang sedang memasak. Tetapi Lamat Tebong mengaku dia sendiri tidak tahu menahu mengenai dapur rumahnya berasap itu tatkala dia keluar memikat tekukur.
Puas juga Utih Berahim mendesak Lamat Tebong supaya berubat pada Dukun Sunap, namun dia enggan menuruti nasihat kawannya itu. Berkeras Lamat Tebong memberitahu dia tidak menghidap apa-apa sakit pun. Bukan takat Utih Berahim sahaja mendesak, sedangkan Kak Tiah memujuknya supaya berubat pun dia tidak hiraukan.
Sampailah dia mati tidak seorang pun tahu mengenai punca Lamat Tebong berkelakuan aneh. Hanya Dukun Sunap sahaja agakkan dia berkahwin dengan orang bunian hingga menyebabkan Lamat Tebong asyik habiskan masa di belukar. Pandangan mata kasar sahaja dia memikat tekukur di situ, tetapi Dukun Sunap dapat mengagak tentu Lamat Tebong menemui kaum keluarga isterinya dari kalangan orang bunian itu.
Kalaulah keluarga Lamat Tebong meminta dia pulihkan semangat lelaki itu, memang Dukun Sunap sanggup lakukan. Dia sendiri akan menyusup masuk ke perkampungan bunian menemui penghulunya. Sekiranya mereka berkeras, Dukun Sunap akan bakar perkampungan itu dengan membacakan Ayatul Kursi. Tetapi dia sedia berlembut, sekiranya penghulu bunian mahu berunding untuk membebaskan Lamat Tebong.
Masakan Dukun Sunap mahu memandai-mandai mengubati Lamat Tebong, selagi keluarganya tidak bersuara. Dia tidak akan melanggar bahasa, kalau tidak mendapat keizinan Kak Tiah. Biarlah Lamat Tebong hanyut dalam dunianya, sehingga dianggap oleh orang-orang kampung berkelakuan aneh.
"Dia tu kesal tak sudah agaknya," Lebai Bahamit menduga apabila isterinya Kak Tiah mendesak supaya Lamat Tebong diubati. Bila-bila sahaja Dukun Sunap sanggup mencuba sekiranya dia sendiri meminta pertolongan.
"Kesal macam mana pula?" ujar Kak Tiah mendengus lemah.
"Dulu dia tak pedulikan Birah," tegas Lebai Bahamit mencebek bibir semacam mengejek. "Bila mati Birah, dia rasa bersalah," dia menjelaskan perlahan.
"Habis, dapurnya tu berasap macam ada orang memasak, kesal juga?" gerutu Kak Tiah melepaskan geram dengan sikap suaminya. "Nanti awak juga kesal tak sudah sebab tak pedulikan Lamat!" dia menambah sambil mencemik muka mengerling Lebai Bahamit.
Terkebil-kebil mata Lebai Bahamit dimarahi isterinya. Dia sendiri tidak dapat mencari punca. Kalau Lamat Tebong kesal dengan kematian isterinya disebabkan dia tidak ambil berat kesihatan Birah, kenapa pula jiran-jiran terserempak bayangan orang memasak di dapur rumah tatkala Lamat Tebong keluar memikat tekukur?
Bukan sekali dua jiran-jiran terserempak, malah sudah berulang kali semenjak kematian Birah. Sekalipun Lebai Bahamit tidak pernah bersua dengan kejadian berkenaan, tetapi isterinya Kak Tiah mengakui dia pernah mengendap tatkala asap melabun di atap dapur.
Perlahan-lahan Kak Tiah bersama Andak Lijah merapati bahagian dapur rumah Lamat Tebong. Terkejut benar mereka apakala melihat bayangan perempuan mememasak. Mereka nampak air beras dicurahkan di pelantar, sekalipun bayangan perempuan itu tidak jelas kelihatan. Apabila mereka menegur dari penjuru dapur, serta merta sahaja bunyi orang memasak tidak kedengaran lagi.
#KoleksiTokAwangNgahBab157
PADAH AMALAN CACING GELANG
(Bab 157 bahagian 1)
SETIAP kali melintas di halaman rumah Lamat Tebong memang terasa seram di hati Mijun, disebabkan ramai orang-orang kampung pernah ternampak dia duduk dipelantar dapur. Sudah lebih tiga tahun Lamat Tebong meninggal dunia pun, orang-orang kampung terserempak dia beberapa kali menjelma di kawasan rumah itu.
Semenjak Lamat Tebong meninggal dunia memang tidak siapa lagi menunggu rumah tersebut. Memang Lamat Tebong meninggal dunia tatkala duda dengan tidak meninggalkan seorang pun anak. Rumah yang didiaminya juga rumah pesaka peninggalan datuknya.
Sayang benar datuknya pada Lamat Tebong sampai apa sahaja kemahuannya diturutinya. Sampai sudah berkahwin dengan Birah, dia masih juga harapkan datuknya menanggung keluarga. Lamat Tebong akan habiskan masa memikat tekukur di pinggir hutan.
Sekali sekala datuknya merungut, Lamat Tebong akan bantu juga datuknya bertukang kayu. Tetapi dia tidak boleh membantu. Kadangkala jarinya terketuk tukul besi sampai bengkak biru lebam; kadangkala kakinya ditusuk selumbar papan masa bertukang, kadangkala lengannya calar diguris paku. Sebab itu Aki Mihin tidak harap sangat bantuan Lamat Tebong kalau bertukang kayu membuat rumah orang.
Apabila Aki Mihin meninggal dunia, terpaksalah Lamat Tebong bekerja kuat menyara keluarga. Tetapi dia tidak boleh tinggalkan kegemarannya memikat tekukur. Asal sahaja matahari tegak di kepala dia akan menjinjing sangkar denaknya ke hujung kampung. Dia terhendap-hendap di tepi belukar senduduk harapkan tekukur turun melayah mencari denak.
Tidak lama selepas Aki Mihin meninggal dunia, Birah pula mati akibat demam kura yang berpanjangan. Tergigil-gigil Birah menahan sejuk ditimpa penyakit demam kura, tidak pernah Lamat Tebong ambil peduli sangat. Dia akan tinggalkan Birah mengerang-erang kesakitan, lantas mencapai sangkar denak terus ke hujung kampung. Biarlah isterinya menderita demam kura, Lamat Tebong hanya harapkan Birah sembuh sendiri sahaja.
"Aku ni sakit bang Lamat," keluh Birah memerhatikan Lamat Tebong menuruni tangga rumah men-jinjing sangkar denak.
"Ah, mintalah Mak Demah tengokkan," sahutnya mendengus apabila dilarang memikat tekukur. "Aku pun pergi sekejap aje, hujung kampung tu hah..." ujar Lamat Tebong memuncungkan hibir ke puncak bukit bukau yang membiru.
"Tak payah memikat tekukur apa salahnya!" marah juga Birah dengan sikap suaminya itu.
Lamat Tebong tidak menyahut. Dia sekadar memberitahu Mak Demah supaya menjengah isterinya sewaktu turun memikat tekukur. Tatkala Mak Demah menjengah memang tidak ada apa-apa pun yang dapat disediakan di rumah Lamat Tebong.
Sewaktu Birah menutup mata rapat-rapat siapa pun tidak dapat memberitahu dia tengah memikat tekukur di pinggir hutan. Hampir senja tatkala dia balik ke rumah, baru Lamat Tebong serba salah melihat ramai jiran berkumpul di rumahnya.
Setelah Birah meninggal dunia, memang Lamat Tebong menduda tidak berkahwin lagi. Orang-orang kampung percaya memang tidak siapa pun perempuan rela menjadi isteri Lamat Tebong, kalau menerima nasib yang sama dengan Birah.
"His, seram saya melintas di halaman rumahnya tu, ustaz," Mijun memberitahu saya semasa saya bertukar ke kampung berkenaan. "Tak tergamak saya nak sewakan rumah peninggalan bapa saudara saya tu pada ustaz," katanya enggan membenarkan saya menyewa rumah tersebut.
Sebelum itu Cikgu Bidin sudah memberitahu saya mengenai rumah peninggalan Lamat Tebong yang dikatakan seringkali jelmaannya ditemui orang di pelantar dapur.
Memang Cikgu Bidin juga tidak galakkan saya menyewa rumah berkenaan. Malah isterinya Kak Misah juga menyuruh saya menyewa di pekan kecil jarak dua batu sahaja dari situ. Apalah salahnya mengayuh basikal jarak dua batu untuk bertugas di kampung berkenaan, asalkan tempat tinggal selesa.
"Apa nak diseramkan, Mijun?" sengaja saya mengusik anak muda itu disebabkan dia teragak-agak mahu melangkah sebaik sahaja sampai di tengah halaman rumah.